Harimau Malaya uji India pada November

Iklan
Skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua perlawanan persahabatan pada November. Foto Bernama

SKUAD Harimau Malaya sah akan menguji India dalam aksi persahabatan tier satu di laman lawan pada 19 November depan.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan yang turut memaklumkan sedang berunding dengan sebuah lagi pasukan untuk mengisi satu lagi slot aksi persahabatan pada November.

Iklan
Iklan

"Venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).

"Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 11 hingga 19 November.

Iklan

"FAM juga sedang mengesahkan satu lagi perlawanan antarabangsa tier satu menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan," kata kenyataan itu.

Berdasarkan kemas kini ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 19 September lalu, India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, enam anak tangga dibezakan dengan Malaysia di kedudukan ke-132 dunia.

Iklan

Kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 dan skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan Gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata.