Pemilik boleh didenda jika pelihara baka anjing terlarang - MBPP

Iklan
Benji (kiri) dan Boon Lim menunjukkan poster ‘Baka Anjing Terlarang’ pada sidang media di Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP pada Rabu. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan orang awam agar tidak memelihara anjing dalam senarai baka terlarang kerana mereka boleh didenda RM200 dan tindakan merampas haiwan itu boleh dilakukan sekiranya ingkar.

Ahli MBPP, Quah Boon Lim berkata, terdapat tujuh baka anjing terlarang yang disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang bukan sahaja tidak boleh dibawa masuk ke negara ini, malah tidak boleh dipelihara kerana dikhuatiri menyebabkan kecederaan kepada manusia walaupun dipelihara dengan baik berdasarkan faktor genetiknya.

Iklan
Iklan

Baka anjng terlarang itu ialah Akita, American Bulldog, Dogo Argentino, Fila Braziliero, Japanese Tosa, Neapolitan Mastiff dan Pit Bull Terrier.

"Majlis memandang serius kes gigitan baka anjing terlarang yang mengancam keselamatan awam dan ingin memberi kesedaran awam bahawa pemeliharaan baka anjing terlarang tidak dibenarkan sama sekali demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Iklan

"Tahun ini sahaja terdapat lapan kes gigitan anjing yang dilaporkan kepada pihak JPV Pulau Pinang dengan satu kes melibatkan baka anjing terlarang jenis Pit Bull yang berlaku di kawasan Bukit Gambir pada Februari lepas. Anjing berkenaan telah diambil oleh pihak MBPP dan dihantar ke pusat perlindungan haiwan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPP di sini pada Rabu.

Boon Lim memberitahu, MBPP juga tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada baka anjing terlarang, justeru pemilik anjing dinasihatkan tidak memelihara anjing dalam senarai baka terlarang itu untuk menjaga keselamatan diri sendiri dan orang awam.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi ahli majlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam MBPP, Benji Ang Ming Quan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Persekitaran MBPP telah mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan poster hebahan ‘Baka Anjing Terlarang’ untuk mendidik orang awam untuk memahami sebab baka berkenaan tidak sesuai dipelihara di rumah.

"Bagi membolehkan maklumat ini disampaikan dengan lebih berkesan kepada orang awam, Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran untuk mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat.

"Pada masa yang sama, poster jenis baka anjing terlarang ini akan dimuat naik ke laman media sosial rasmi MBPP seperti Facebook, Instagram serta TikTok dan akan diedarkan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian pulau bagi tujuan hebahan,” katanya.

MBPP turut mengalu-alukan penglibatan organisasi yang ingin bekerjasama untuk menyampaikan mesej kesedaran di peringkat komuniti agar keselamatan masyarakat terjamin. - Bernama