SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan berharap pemantauan secara berterusan dapat dilakukan semua pihak bagi mengelakkan berlakunya lagi isu seperti mana yang membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemantauan perlu dilakukan dari semasa ke semasa dan bukannya hanya apabila timbul isu.
"Saya berharap bukan apabila berlaku isu saja kita menjalankan pemantauan, tetapi dijalankan dari semasa ke semasa khususnya kepada sekolah-sekolah yang bukan aliran perdana.
"Tak kiralah sama ada tahfiz atau madrasah, walaupun ia berdaftar sekali pun dengan Jabatan Pendidikan atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pemantauan perlu dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berkenaan isu GISBH.
Selain itu katanya, pihaknya juga sedang menunggu hasil siasatan polis dan mengumpul maklumat bagi mengambil tindakan selanjutnya terutama terhadap premis-premis berkaitan syarikat itu di negeri ini.
"Tadi pun (mesyuarat Exco) saya ada berbincang nyatakan apakah langkah-langkah perlu kita ambil kerana siasatan sedang dijalankan.
"Cuma saya minta penguat kuasa JHEAINS dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk lihat perkembangan dari semasa ke semasa kerana kita nampak ada logo-logo dah ditukar dan itu antara jadi bukti awal," katanya.