1,857 peminjam gagal bayar balik Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak

Iklan
Khairudin. Foto Bernama

IPOH - Seramai 1,857 peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan jumlah tunggakan sebanyak RM16.83 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, semua peminjam berkenaan gagal membuat pembayaran balik walaupun diketahui kebanyakan mereka telah mempunyai kerjaya masing-masing.

Iklan
Iklan

Khairudin berkata, ada juga peminjam yang dikesan tidak membuat sebarang pembayaran balik walaupun telah menamatkan pengajian mereka sejak 10 tahun lepas.

"Apabila berkaitan dengan pinjaman, maka situasi inilah yang akan berlaku, iaitu liat membuat pembayaran balik dan ia sememangnya memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan tabung berkenaan.

Iklan

"Kerajaan negeri telah menghentikan peruntukan untuk tabung Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak pada Januari 2023 dan kita hanya jalankan tabung melalui pusingan pembayaran semula untuk diberikan pula kepada generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka dan Pesta Makanan Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024 di sini pada Rabu.

Khairudin berkata, adalah menjadi satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh para peminjam dan kebiasaannya mereka akan diberi surat arahan bayaran balik termasuk bil tuntutan sebanyak dua kali kepada peminjam.

Iklan

"Salah satu cara yang mereka boleh gunakan adalah melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan jika mereka berkhidmat dalam sektor awam, cadangan pemotongan terus daripada gaji melalui kebenaran ketua jabatan.

"Dari segi tindakan perundangan pula, mulai Januari 2025 tindakan menyenarai hitam peminjam termasuk larangan ke luar negara akan kita lakukan kelak bagi membendung mereka yang gagal membayar balik pinjaman," katanya.

Terdahulu, Khairudin menyampaikan sumbangan Zakat Plus daripada PLUS Malaysia Berhad untuk pelajar asnaf PUO sebanyak RM200 seorang.

Lebih 170 penerima telah mendapat manfaat ini dan agihan telah dilakukan sepanjang tahun bagi membantu pelajar yang memerlukan. - Bernama