KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemandu lori membuat hantaran lucah pada pempengaruh media sosial, mendiang Esha dan mengaibkan ibu mangsa, empat bulan lepas, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menjatuhinya hukuman penjara 12 bulan.
B Sathiskumar, 44, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah, atas dua pertuduhan terbabit, semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Bagi setiap kes, dia dikenakan hukuman penjara 12 bulan namun mahkamah membenarkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 10 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah, melalui perkhidmatan aplikasi TikTok atas nama profil ‘@dulal_brothers_360’ pada jam 10.12 malam, 30 Jun lalu.
Hantaran itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan telah dibaca di sebuah rumah di Jalan Ipoh di sini pada jam 10.15 malam, hari sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000.
Sesyen itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak ini didakwa mengaib dan menganggu kesantunan ibu Esha, iaitu R Puspa, 56, melalui perkhidmatan aplikasi sama, di lokasi sama, pada jam 10.15 malam, tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Sathiskumar memohon maaf dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman memohon mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan demi kepentingan awam termasuk hak mangsa.
"Penggunaan perkataan lucah seperti mana dalam pertuduhan yang digunakan tertuduh semasa siaran langsung di TikTok, melambangkan niat jahat tertuduh menyakiti mangsa.
"Tambahan pula, fakta kes menunjukkan mangsa ditemui maut selepas dia membuat laporan polis kerana diugut, diancam dan dimaki oleh tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Izwan Ishak merayu anak guamnya dikenakan hukuman penjara pada tempoh singkat dan berjalan serentak.
"Anak guam saya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
"Kami memohon supaya mahkamah ini memberikan peluang kepada tertuduh agar dia dapat berubah menjadi insan yang baik dan berguna kepada negara," katanya.
Pada Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, tiga individu termasuk seorang bekas polis dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap Esha di TikTok.
Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak, di sini pada 5 Julai, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.
Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.