SHAH ALAM - Beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning di sini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan, petang ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam memaklumkan menerima dua laporan mengenai kejadian banjir kilat iaitu di Jalan Kebun dan Kota Kemuning.
Menurutnya, pasukan itu melakukan pemantauan di Jalan Kebun manakala pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas membuat pemantauan di kawasan Kota Kemuning.
"Bagaimanapun setakat ini keadaan terkawal dan keadaan banjir kilat beransur pulih sementara keadaan lalu lintas juga terkawal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video dan gambar keadaan limpahan air di jalan-jalan utama sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning.
Dalam pada itu, pada Jumaat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini berterusan sehingga November depan.
Fasa tersebut menyaksikan negara bakal menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hashim Mohd Anip dilaporkan berkata, permulaan fasa tersebut menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei 2024.
Ujarnya, situasi itu boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Beliau menambah, keadaan cuaca sedemikian berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.