JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pengemis jalanan orang kurang upaya (OKU) dengan penahanan empat warga China menerusi Op Serkap di sini pada Isnin dan semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 36 hingga 67 tahun itu ditahan secara berasingan dan dipercayai mengemis di kawasan pasar malam serta premis di sekitar bandar raya ini.
Beliau berkata, tindakan penahanan dilakukan selepas pihaknya bertindak hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu.
"Kegiatan ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan mereka sering berpindah-randah disyaki diaturkan oleh sindiket. Ketika operasi dilakukan, terdapat cubaan untuk mereka melarikan diri ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas.
"Mereka didapati mampu meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan dengan hanya bermodalkan kekurangan fizikal dan cacat anggota,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Rusdi berkata, sikap pemurah rakyat di negara ini menyebabkan mereka lebih cenderung untuk bersikap agresif dengan mendekati orang ramai yang mengunjungi pasar malam atau premis.
"Kita turut merampas wang tunai RM9,000 dalam operasi berkenaan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Mohd Rusdi berkata, pihaknya menahan 45 pendatang tanpa izin dalam Op Mahir, Op Dandan, Op Belanja dan Op Selera di Taman Daya di sini, pada 1 tengah hari semalam.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada 22 lelaki warga Bangladesh, 15 lelaki dan lima wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki India, wanita Vietnam dan wanita Indonesia berusia dalam lingkungan 19 hingga 44 tahun.
"Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(b) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
"Seorang lelaki warga Myanmar yang merupakan penjaga di sebuah restoran tidak berlesen pula ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - Bernama