JAIS tutup lapan sekolah GISBH

Iklan
Abdul Aziz

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan lapan Sekolah Islam Persendirian di bawah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya di Selangor ditutup.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, siasatan dijalankan mendapati kesemua sekolah berkenaan telah menyalahi peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Iklan
Iklan

Menurutnya, arahan penutupan itu telah dikeluarkan oleh JAIS menurut seksyen 25 EPSAI 1988 pada Isnin lalu.

" Pegawai Penguatkuasa Agama juga sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya bagi kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Iklan

"Kertas siasatan tersebut akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Lapan sekolah tersebut ialah Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam (SRI) Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam (SMI) Global Ikhwan (Banat), Rawang.

Iklan

Selain itu, SMI Zadut Taqwa 2, Puchong; SMI Zadut Taqwa 1, Shah Alam; SRI Yaqutul Fuad, Rawang; SRI Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan SRI Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Pada Sabtu, Sultan Selangor menitahkan penguatkuasaan tegas dilaksanakan bagi membanteras kesalahan jenayah termasuk jenayah akidah yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Susulan itu, Mesyuarat MAIS telah dijalankan pada Selasa khusus untuk membincangkan berkaitan tindakan yang telah diambil dan akan dilaksanakan oleh MAIS dan agensi hal ehwal Islam di negeri Selangor berhubung perkara tersebut.

Abdul Aziz berkata, MAIS akan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal terlibat.

Selain itu katanya, MAIS juga membuat keputusan mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH di Bandar Country Homes Rawang sehingga siasatan selesai.

Tambahnya, MAIS turut akan menubuhkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

"MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara serius dan bersepadu bagi memastikan sebarang gerakan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam sebenar dibanteras sepenuhnya di Selangor.

"Kami akan pastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," katanya.