Pilih wakil rakyat selari kerajaan bawa kelebihan kepada pengundi - Ahmad

Iklan
Ahmad Maslan. Foto Bernama

KLUANG - Memilih wakil rakyat yang sehaluan dengan kerajaan negeri mempunyai kelebihan dalam merealisasikan usaha membangunkan kawasan atau kebajikan penduduk setempat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, wakil rakyat yang berpihak kepada kerajaan mempunyai kemudahan mendapatkan peruntukan serta lebih mudah untuk berurusan dengan pemimpin, jika mahu mengutarakan permasalahan dihadapi rakyat.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, kita ingin menjadikan DUN (Dewan Undangan Negeri) Mahkota sebagaimana DUN Mengkibol dan Parlimen Kluang, yang sehaluan dalam Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi projek pembesaran persimpangan Jalan Persekutuan-FT50 Batu Pahat-Mersing di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol, Chew Chong Sin.

Iklan

Selain itu, Ahmad juga menyeru semua penyokong Barisan Nasional (BN) di DUN Mahkota untuk keluar mengundi pada Sabtu ini, bagi memastikan kejayaan calon mereka Syed Hussien Syed Abdullah pada pilihan raya itu.

Sementara itu, Shu Qi pada majlis berbeza, menyeru pengundi luar DUN Mahkota termasuk yang bekerja di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang dapat memberi perkhidmatan baik dan membawa suara rakyat di sini.

Iklan

Ahmad Maslan, Shu Qi dan Chong Sin meninjau Kerja-Kerja Penyelenggaraan Jalan Secara Reconstrurction, Mill & Pave dan lain-lain kerja berkaitan di Seksyen 52.90-55.00 Laluan Batu Pahat-Mersing FT50 pada Rabu. Foto Bernama

Beliau berkata, undi mereka dapat menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi di Johor dan kestabilan politik.

"Undi mereka bermakna kerana ia memberi sokongan dan keyakinan kepada kerajaan negeri dan juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. - Bernama

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.