PADA 2018, University City High School Commander mengeluarkan satu laporan kajian mengejutkan tentang penggunaan straw atau penyedut minuman plastik.
Berdasarkan laporan itu, jika penggunaan straw plastik tidak dihentikan, menjelang tahun 2050 akan lebih banyak penyedut minuman berkenaan berbanding ikan di lautan.
Namun, belum pun memasuki 2050, kesan straw plastik pada hari ini hebat diperdebatkan oleh pencinta alam sekitar di serata dunia.
Sebuah video yang memperlihatkan seekor penyu berdepan kesengsaraan apabila sebatang straw tersumbat di dalam hidungnya menjadi modal bicara buat pencipta alam sekitar.
Tidak dapat dipastikan bila straw plastik menjadi punca derita penyu itu tetapi apa yang boleh dikatakan bahawa plastik mengambil masa 200 tahun untuk mengurai malah selepas terurai sekalipun ia menjadi mikrofam dan tidak boleh diuraikan sepenuhnya.
Siapa sahaja yang melihat video berkenaan akan mengundang rasa sedih dan simpati. Itu belum memasuki tahun 2050. Bagaimana situasi sebenar sekiranya penggunaan straw plastik tidak dihapuskan sepenuhnya?
Bertitik tolak daripada kesan buruk penggunaan straw itu, pelbagai pihak tampil menyuarakan kebimbangan sehingga membuatkan beberapa kerajaan negeri antaranya Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur mengambil tindakan drastik melarang penggunaan penyedut minuman plastik.
Lantas penyedut minuman berteraskan kertas, buluh dan besi dijadikan solusi sebagai pengganti plastik.
Malah baru-baru ini Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa menyarankan penggunaan serai buluh sebagai penyedut minuman.
Namun saranan itu segera menjadi modal buat warga maya membuat lawak atau troll menerusi media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Jika diimbas kembali, empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 di Perak merangkul Anugerah Emas pada pertandingan reka cipta dan inovasi peringkat antarabangsa yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah pada penghujung Mac tahun lalu.
Kejayaan merangkul anugerah itu adalah melalui inovasi penyedut minuman bio dihasilkan daripada daun serai dan kertas bagi menggantikan penyedut minuman plastik.
Jadi apa yang disarankan oleh Husam itu tidak sepatutnya ditertawakan kerana saranan itu adalah sebagai langkah menggantikan straw plastik walaupun penggunaan serai buluh itu berteraskan sumber semula jadi dan tidak memerlukan masa lama untuk terurai.
Bagi Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, saranan yang dibuat oleh Husam itu perlu diteliti sama ada ia membawa kebaikan mahupun tidak.
Ini kerana tegasnya, banyak material yang boleh digunakan bagi menggantikan penggunaan straw plastik.
"Isunya adalah benda itu baik atau tidak. Dia mahu ganti plastik. Bagaimanapun banyak material lain juga boleh digunakan. Bukan sahaja serai.
"Sekarang juga banyak straw yang guna kertas, buluh dan besi. Ini adalah usaha nak kurangkan plastik. Isunya adalah berkenaan plastik. Kita nak kurangkan plastik dalam alam sekitar sebabnya plastik ini susah untuk terurai,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta memberikan ulasan berkenaan serai menggantikan penyedut minuman plastik.
Namun bagi Dr Azizan, langkah yang lebih baik untuk memastikan alam sekitar terus terjamin adalah tanpa menggunakan straw 100 peratus.
Menyokong pandangan berkenaan, pensyarah daripada Jabatan Persekitaran dan Pekerja, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman menegaskan adalah lebih baik penggunaan straw dihapuskan sepenuhnya.
"Orang Malaysia suka minuman sejuk dan pada saya kalau minum air sejuk sekalipun tidak perlu menggunakan penyedut minuman. Kenapa air panas kita tak gunakan straw tetapi air sejuk kita mahu gunakannya,” katanya.
Jika mahu menggunakan penyedut minuman sekali pun katanya, penyedut minuman yang bersesuaian boleh digantikan dengan penyedut minuman yang boleh disimpan semula atau diguna semula seperti penyedut minuman besi yang ketika ini digunakan secara meluas di seluruh dunia.
"Kalau kita guna serai, memang takkan habis isu itu. Sebab setiap kali habis guna kita akan buang. Bukan boleh guna dua tiga kali. Mungkin serai itu boleh diguna tetapi bagi saya untuk jangka masa panjang, penggunaannya tidak berapa bijak. Baik tanpa gunakan straw. Sebab negara-negara maju minum tanpa straw.
"Penggunaan straw besi yang boleh dibawa ke mana-mana itu lebih bijak dan bagus,” katanya.