SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Permohonan maaf kali pertama itu berkaitan kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara di Gombak, Selangor yang didakwa menghina baginda.
"Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.
"Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau menyedari bahawa tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti yang telah diperkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.
Ujar beliau, pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon keampunan kepada Sultan Selangor termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu.
"Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setia ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja," jelasnya.
Sebagai rekod pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.