Malaysia gesa UNSC ambil tindakan tegas hentikan serangan Israel

Iklan
UNSC perlu mengambil tindakan tegas dan segera dalam menghentikan serangan kejam Israel terhadap Palestin dan Lubnan. Foto AFP

PUTRAJAYA - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu mengambil tindakan tegas dan segera dalam menghentikan serangan kejam Israel terhadap Palestin dan Lubnan.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri (KLN), Malaysia menegaskan UNSC turut perlu melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan itu.

Iklan
Iklan

"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini, yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang," katanya pada Rabu.

Ujar kementerian itu, serangan yang menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia antarabangsa.

Iklan

"Tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan," jelas KLN.

Menurutnya, operasi ketenteraan rejim Zionis itu bukan sahaja meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran serta masyarakat antarabangsa.

Iklan

"Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa sama sekali tidak dapat diterima," kata KLN.

Sementara itu, rakyat Malaysia termasuk 23 individu yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut dinasihatkan untuk membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela memandangkan keadaan semakin meruncing.

Selain itu, mereka yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke negara itu turut dinasihati agar menangguhkannya.

"Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut atau di talian 961 7677 2527, 961 7138 0063 serta mwbeirut@kln.gov.my," katanya.