Wanita OKU buat bunga sabun demi kelangsungan hidup

Iklan
Ruhana menunjukkan kuntuman bunga sabun yang akan digubah mengikut kehendak pelanggan.

KUALA KRAI - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kuala Pertang Baru menggunakan kemahirannya membuat bunga sabun sejak 30 tahun lalu sebagai sumber pendapatan untuk meneruskan hidup selepas tidak mampu bekerja.

Warga emas itu, Ruhana Mohamed Noor, 64, membuat keputusan meneruskan hobi masa mudanya selepas kaki kanannya terpaksa dipotong akibat termasuk ke dalam mesin memproses getah keping ketika bekerja di sebuah kilang.

Iklan
Iklan

Menurut Ruhana, bunga sabunnya mendapat permintaan daripada pelbagai golongan terutama untuk majlis tertentu termasuk perkahwinan, pertunangan dan hari lahir.

"Permintaan akan meningkat sempena sambutan Hari Guru, Hari Jururawat atau majlis konvokesyen kerana bunga sabun pelbagai warna sesuai dijadikan cenderamata," katanya.

Iklan
Ruhana bersama sebahagian gubahan bunga sabun yang ditempah pelanggan.

Bagaimanapun, Ruhana bersyukur kerana anak tunggalnya, Ayu Sofea Fauzi, 30, setia membantu untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Ruhana bertuah kerana dapat mempelajari pembuatan bunga sabun daripada ibunya, Mek Nab Ahmad, 79, dan kemudian berkongsi ilmu itu bersama Ayu Sofea.

Iklan

Ibu tunggal itu memberitahu, pada mulanya sukar untuk membuat kelopak terutama bunga mawar tetapi alah bisa tegal biasa dan kini dia mampu menyiapkan 200 kuntum bunga sehari.

Berkongsi cara membuat bunga sabun, Ruhana berkata, antara bahan yang diperlukan ialah sabun mandi yang sudah diparut, tepung jagung, minyak bayi, losyen dan gam.

"Kesemua bahan dimasukkan ke dalam kuali dan dipanaskan kira-kira 10 minit supaya menjadi doh sebelum disejukkan serta dibiarkan kira-kira tiga jam hingga seminggu.

Ruhana membuat kelopak bunga mawar yang ditempah pelanggan.

"Selepas itu doh berkenaan akan dibahagikan sebelum dicampur dengan pelbagai warna pilihan pelanggan dan dijadikan kelopak," katanya.

Jelasnya lagi, masa untuk membuat kelopak dan menggubah bunga tidak lama tetapi pelanggan perlu memaklumkan lebih awal.

Ruhana turut berkongsi tips penggunaan cuka dan tepung jagung yang disangai dapat mengekalkan kuntuman bunga tahan lebih lama dan tidak berkulat.

Katanya lagi, keistimewaan bunga sabun ialah berbau wangi dan tidak mudah layu malah tahan lebih lama jika diletakkan di tempat sejuk atau bilik pendingin hawa.

Bakat semulajadi Ruhana juga ialah menghasilkan bunga daripada bahan terbuang seperti kulit kerang, guni bawang botol mineral dan botol minyak masak.

"Bagi berkongsi ilmu dan mendapat lebih ramai rakan dalam bidang kraf ini, saya selalu menyertai pertandingan membuat dan menggubah bunga di negeri ini," katanya.