Tanpa pendakian Genting Highlands, saingan LTdL 2024 lebih terbuka

Iklan
Saingan LTdL 2024 lebih terbuka susulan ketiadaan Genting Highlands dalam peta perlumbaan kali ini. Foto Agensi

KETIADAAN laluan pendakian kategori Hors Genting Highlands pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 menyaksikan persaingan merebut jersi keseluruhan lebih terbuka pada edisi kali ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abdul Jalal berkata, beliau menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan pelumba dengan strategi perlumbaan akan tertumpu kepada pakar pecut dan pelumba all-rounder.

Iklan
Iklan

"Macam tahun lepas kalau kita nak ramal juara keseluruhan kita tengok siapa yang tawan laluan Genting Highlands. Sebab jarak antara tempat pertama dan kedua itu selalunya besar.

"Walaupun tahun ini kita ada laluan di Cameron Highlands, tetapi pelumba naik ikut Simpang Pulai dan jalannya lebih landai dan jarak masa tidak besar berbanding kalau naik ikut Tapah," katanya.

Iklan

Sementara itu, Emir berkata, persiapan akhir menjelang peringkat pertama perlumbaan pada 29 Sept ini berjalan lancar.

Beliau berkata, penganjur juga sudah mempunyai pelan kontingensi sekiranya berlaku perkara tidak diingini sepanjang perlumbaan terutamanya situasi cuaca tidak menentu ketika ini.

Iklan

"Kalau dari segi cuaca, hujan atau panas kita masih berkayuh. Cuma jika ada banjir atau tanah runtuh kita ada persiapan lain," katanya.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).

Sebanyak 22 pasukan menyertai perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) jarak keseluruhan 1,190 kilometer, bermula pada 29 Sept dari Pulau Langkawi dan buat kali pertama memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak. - Bernama