KPDN bongkar kegiatan sembunyi barang kawalan, jual kepada warga asing

Iklan
Timbalan Pengarah KPDN Pulau Pinang, Ridzuan Mat Isa bersama pegawainya melakukan pemeriksaan ke atas barang kawalan bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan di sebuah kediaman dekat Taman Tenggiri pada Rabu. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penyelewengan barangan kawalan selepas menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Seberang Jaya, di sini pada Rabu.

Pengarahnya, S Jegan berkata, serbuan pada 10 pagi itu dijalankan susulan risikan dan intipan sejak sebulan lepas.

Iklan
Iklan

"Seorang lelaki tempatan yang juga pemilik sebuah kedai runcit di sini dipercayai menjadikan rumah itu sebagai tempat menyembunyikan barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum.

"Lelaki itu dipercayai bertindak sedemikian untuk menyeleweng barangan terbabit dengan menjual kepada warga asing pada harga lebih mahal berbanding ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas serbuan.

Iklan

Beliau berkata, semasa serbuan, terdapat seorang lelaki warga India berusia 28 tahun dipercayai penjaga barangan di rumah itu.

Jegan (kanan) bersama pegawainya memeriksa barang kawalan bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan di sebuah kediaman dekat Taman Tenggiri pada Rabu. Foto Bernama

Iklan

Hasil pemeriksaan, katanya menemukan 986 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi, 84 kg minyak masak botol pelbagai jenama, 372 kg gula pasir dan 141.2 kg tepung gandum yang kesemuanya bernilai RM4,849.

Jegan berkata, selain menyita barangan terbabit, pihaknya juga menyita beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan kes yang dijalankan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pemilik kedai runcit itu menyewa rumah terbabit sejak lebih dua tahun lepas dan premis berkenaan mempunyai akses jalan belakang ke kedai runcit itu yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

"Pemeriksaan di kedai runcit mendapati premis itu dijaga seorang lelaki warga India dan terdapat barangan kawalan seperti minyak masak peket, gula dan tepung dijual di situ namun dalam kuantiti kecil,” katanya sambil menambah pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik kedai runcit itu dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan. - Bernama