Ringgit cecah paras paling kukuh sejak Jun 2021

Iklan
Ringgit naik kepada 4.1275/1310 berbanding dolar AS pada Rabu, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021. Gambar hiasan

RINGGIT naik kepada 4.1275/1310 berbanding dolar AS pada Rabu, mencatatkan paras paling kukuh sejak Jun 2021.

Mata wang tempatan meningkat 0.69 peratus daripada 4.1550/1605 pada Selasa.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengekalkan prestasinya yang kukuh sepanjang hari, didorong oleh jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan melonggarkan lagi dasar monetarinya pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada 8 Nov 2024.

Beliau berkata, pasaran menjangka penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas seperti yang dapat dilihat daripada niaga hadapan kadar faedah.

Iklan

Selain itu, People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan penurunan kadar kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk tempoh setahun daripada 2.30 peratus kepada 2.00 peratus untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan China telah meningkatkan usahanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus pada tahun ini.

Iklan

"Ini akan membantu meredakan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi China yang lembap. Secara keseluruhannya, ringgit dilihat berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Ringgit turut mencatatkan prestasi yang kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6158/6197 daripada 4.6274/6335 semalam, naik berbanding pound kepada 5.5189/5236 daripada 5.5590/5663 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8625/8652 daripada 2.8796/8836.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2121/2150 daripada 3.2244/2289 semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.39/7.40.

Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 273.3/273.6 daripada 273.5/274.0 dan meningkat kepada 12.6158/6353 daripada 12.6426/6640 berbanding baht Thailand. - Bernama