SHAH ALAM - Ketika China termasuk Malaysia dan beberapa negara lain sedang bergelut menangani penularan wabak koronavirus, dua lagi wabak selesema burung H5N1 dan demam babi Afrika (ASF) masing-masing pula dikesan melanda China dan Filipina.
Bagaimanapun, kehadiran tambahan dua wabak itu dilihat tidak memberi impak besar sehingga boleh memburukkan keadaan sedia ada ketika ini.
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, tiada implikasi besar kepada negara kerana ketiga-tiga jangkitan wabak itu berbeza dan menyerang sektor haiwan berbeza.
Beliau yang pakar dalam bidang Imunologi dan Penyakit Berjangkit Haiwan berkata, setakat ini, koronavirus didapati memberi kesan lebih kepada manusia sahaja dan tidak mungkin menjangkiti haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Selain itu katanya, tiada bukti yang menunjukkan kucing dan anjing boleh dijangkiti dengan wabak tersebut.
Menurutnya, kerajaan China juga setakat ini masih belum dapat memastikan haiwan hidupan liar yang mana adalah pembawa atau perumah perantara kepada wabak ini tetapi yang pasti wabak virus ini berasal dari kelawar.
"Bagi penyakit H5N1 pula ia hanya menyerang ayam dan dalam sesetengah kes turut menjangkiti khinzir. Kes berkaitan penyakit ini memang lazim berlaku di China dan beberapa negara lain di Asia.
"Di Malaysia kes terakhir H5N1 berlaku di Sabah pada 2018 namun pada masa sekarang, Malaysia bebas dari H5N1," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Pada 2 Februari lalu, Channel News Asia melaporkan, Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Negeri China mengesahkan kes H5N1 berlaku di ladang Shaoyang, wilayah selatan Hunan yang menempatkan 7,850 ayam yang mana 4,500 daripadanya mati akibat selesema burung.
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan mengambil langkah memusnahkan 17,828 ayam secara keseluruhan termasuk menyediakan langkah pencegahan yang perlu untuk mengatasi wabak itu.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, H5N1 ini adalah zoonotik bermaksud walaupun menjangkiti haiwan seperti ayam tetapi ia juga boleh menjangkiti manusia yang terdedah kepada ayam yang membawa virus itu.
Beliau berkata, lazimnya jangkitan ayam kepada manusia kadangkala sukar berlaku tetapi jika manusia dijangkiti, amat sukar untuk merebak antara manusia ke manusia.
"Ia tidak mudah merebak seperti wabak koronavirus tetapi sekiranya menjangkiti manusia, H5N1 boleh menyebabkan kadar kematian tinggi," katanya memberitahu wabak H5N1 dalam ayam juga mempunyai vaksin untuk menanganinya.
Sementara itu Abdul Rahman memberitahu, ASF pula menyerang babi dan ia tidak bersifat zoonotik dan tidak boleh menjangkiti manusia.
Beliau berkata, ASF hanya menjangkiti babi dan disebabkan itu Malaysia sudah tidak mengimport produk haiwan itu dari negara yang dikesan berlaku ASF serta meningkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara kemasukan daging dan produk khinzir dari negara berisiko ASF.
"Itu adalah antara langkah dibuat kerajaan bagi mengekang kemasukan virus ASF dan sehingga kini, tidak merekodkan sebarang kes berkaitan dan Malaysia bebas dari ASF," katanya.
Di Filipina turut direkodkan kes pertama ASF yang dikesan di wilayah Davao Occidental serta di kawasan lain di Mindanao pada 2 Februari lalu.