Belian lewat bantu Bursa Malaysia melantun semula

Iklan
FBM KLCI naik 3.01 mata atau 0.18 peratus, untuk ditutup kepada 1,673.38 daripada paras penutup 1,670.37 pada Selasa. Gambar hiasan
BELIAN lewat telah membantu Bursa Malaysia melantun semula untuk ditutup tinggi selepas jatuh pada tengah hari di tengah-tengah sentimen lembap dalam pasaran serantau berpunca daripada data keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) yang lemah.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.01 mata atau 0.18 peratus, untuk ditutup kepada 1,673.38 daripada paras penutup 1,670.37 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi, naik 3.69 mata kepada 1,674.06, bergerak antara 1,665.19 dan 1,675.73 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, keadaan pasaran agak tidak memberangsangkan ketika ditutup dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 790 berbanding 397, manakala 473 kaunter tidak berubah, 857 tidak diniagakan dan 18 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.59 bilion unit bernilai RM3.29 bilion daripada 3.51 bilion unit bernilai RM3.10 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pelabur melahirkan kebimbangan terhadap penurunan mendadak Indeks Keyakinan Pengguna AS, yang secara tidak dijangka turun kepada 98.7 pada September 2024 daripada 105.6 yang disemak pada bulan sebelumnya.

Penurunan ini menandakan kejatuhan terbesar sejak Ogos 2021 dan mendorong pelabur mengambil sikap yang lebih defensif, apabila kebimbangan meningkat mengenai kemungkinan pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) pada November 2024, katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Wall Street terus mencatat rekod tertinggi walaupun bimbang tentang potensi kelembapan ekonomi berikutan Fed melaksanakan pemotongan kadar yang lebih besar daripada jangkaan pada minggu lepas.

"Pelabur kini memberi tumpuan kepada petunjuk ekonomi AS yang akan datang, termasuk jualan rumah baharu dan kadar pengangguran mingguan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kesihatan ekonomi.

"Momentum daripada Wall Street bersama dengan aliran masuk dana asing yang mapan didorong oleh jangkaan pemotongan kadar selanjutnya, seharusnya memberikan sokongan untuk pasaran tempatan," katanya.

Menurut Mohd Sedek, sokongan belian yang kukuh di Wall Street dijangka memberi faedah kepada saham-saham tempatan, terutamanya syarikat bermodal kecil.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank turun empat sen kepada RM10.70, Public Bank jatuh lima sen kepada RM4.63, CIMB susut satu sen kepada RM8.28 dan Tenaga Nasional menyusut dua sen kepada RM15.02, manakala IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM7.14.

Bagi kaunter aktif, Top Glove Corp susut 10 sen kepada 99 sen, VS Industry turun enam sen kepada RM1.05, Globetronics Technology naik 2.5 sen kepada 73.5 sen, 99 Speed ​​Mart Retail naik tiga sen kepada RM2.19 dan MY EG Services tidak berubah pada 90 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 38.02 mata kepada 12,484.04, Indeks FBM Emas Shariah susut 23.23 mata kepada 12,366.10, Indeks FBMT 100 turun 30.87 mata kepada 12,184.50, Indeks FBM 70 menyusut 241.87 mata kepada 17,575.77 dan Indeks FBM ACE turun 52.98 mata kepada 5,131.68.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 74.86 mata kepada 7,252.94 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menokok 0.48 mata kepada 177.69, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 84.56 mata kepada 19,643.81 dan Indeks Tenaga susut 7.32 mata kepada 870.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 2.11 bilion unit bernilai RM3.02 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan Waran susut kepada 1.06 bilion unit bernilai RM133.57 juta daripada 1.58 bilion unit bernilai RM194.65 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 410.42 juta unit bernilai RM134.84 juta daripada 364.94 juta unit bernilai RM119.39 juta.

Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 290.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (610.56 juta), pembinaan (200.69 juta), teknologi (269.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (98.37 juta), hartanah (199.44 juta), perladangan (20.15 juta), REIT (11.26 juta), dana tertutup (46,500), tenaga (85.51 juta), penjagaan kesihatan (179.28 juta), telekomunikasi dan media (44.64 juta), pengangkutan dan logistik (29.56 juta), utiliti (65.55 juta) dan amanah perniagaan (1.10 juta). - Bernama