PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menerima petisyen yang menyokong hak sama rata bagi ibu-ibu warga Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
KPWKM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan petisyen itu bertujuan untuk menyampaikan suara daripada lebih 50,000 rakyat Malaysia yang menyokong perkara itu.
Petisyen tersebut diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, oleh Family Frontiers dan Rangkaian Ibu-Ibu Warga Malaysia dalam satu kunjungan hormat ke atas menteri.
Menurut KPWKM, menteri telah meluangkan masa untuk bertemu dengan wakil-wakil daripada Family Frontiers dan Rangkaian Ibu-Ibu Warga Malaysia yang membawa suara pembelaan serta permohonan penyelesaian mengenai nasib ibu-ibu warga Malaysia dan anak-anak mereka berhubung hak kewarganegaraan.
KPWKM memaklumkan bahawa kerajaan, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), telah mengambil inisiatif untuk mempercepatkan pindaan perlembagaan yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan.
Perbahasan dan bacaan ketiga bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 itu akan diteruskan dalam sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 14 Okt sehingga 12 Dis ini.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 telah dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 25 Mac lepas, manakala bacaan kedua pada 27 Mac lepas.
Menurut KPWKM, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dirangka bertujuan agar peruntukan berkaitan kewarganegaraan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan menjadi relevan dan signifikan dengan perubahan demografi penduduk serta aspek sosial, politik, dan ekonomi dalam era globalisasi, dan tidak hanya bersifat retorik.
"Pewujudan RUU (Pindaan) 2024 pada hakikatnya tercetus daripada saranan dan aspirasi semua pihak berkepentingan semasa sesi libat urus yang dibuat oleh pihak KDN sebelum ini.
"Langkah tersebut dibuat kerana pendekatan kerajaan MADANI pada hari ini adalah untuk memastikan setiap cadangan dan keputusan yang dipersetujui memiliki asas yang kukuh, jitu serta hala tuju yang jelas demi kemaslahatan generasi sekarang dan masa depan mereka kelak," menurut kenyataan itu.
KPWKM komited memastikan kesejahteraan wanita dan ibu-ibu di negara ini dan akan sentiasa membantu membawa suara mereka dalam apa saja isu untuk perhatian dan penyelesaian sewajarnya oleh kerajaan. - Bernama