Premis berkaitan GISBH dikesan tukar logo

Iklan
Penguatkuasa Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISBH di Seremban 2 pada Rabu.

SEREMBAN - Agensi penguatkuasaan di Negeri Sembilan telah diarahkan untuk memantau premis dan aktiviti perniagaan yang didakwa berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri tersebut, yang dipercayai mula mengubah logo bagi mengelakkan siasatan.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa negeri menerima maklumat beberapa premis perniagaan telah membuat perubahan pada logo yang tidak berkaitan dengan GISBH.

"Saya minta pihak jabatan agama dan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Iklan

"Ada yang telah kita lihat bahawa tanda logo di premis perniagaan telah berubah, dan itu adalah antara bukti awal. Maklumat tersebut sedang dikumpul untuk tindakan seterusnya.

"Kita tahu premis mereka berada di seluruh daerah. Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan, tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melihat perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Iklan

Aminuddin juga berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat mengenai perkembangan GISBH di negeri ini secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan susulan.

Semalam, MBS menyita beberapa barangan perniagaan restoran makanan dari enam premis yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Seremban.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas enam premis tersebut mendapati bahawa kesemuanya tidak beroperasi. Hanya satu premis yang mempunyai lesen, manakala empat tidak berlesen, dan satu lagi mempunyai lesen yang telah tamat tempoh.

Sementara itu, beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya telah mengesan terdapat sekolah atau madrasah bukan aliran perdana yang tetap beroperasi di negeri itu walaupun tanpa lesen.

Susulan itu, Aminuddin menegaskan bahawa hanya sekolah atau madrasah berdaftar yang mempunyai lesen daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dibenarkan beroperasi.

"Isunya adalah apabila mereka tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan, menyebabkan mereka gagal mendaftar sekolah atau madrasah. Saya berharap penguatkuasaan JHEAINS dan Jabatan Pendidikan negeri memantau semua sekolah dan madrasah ini secara berterusan,” katanya. - Bernama