JAINJ siasat ahli GISBH dikhuatiri masih amal tarekat Aurad Muhammadiyah

Iklan
Mohd Fared. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menyiasat sama ada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini turut mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata, siasatan itu susulan penemuan gambar bekas ketua kumpulan itu dan buku berkaitan semasa Op Global dijalankan minggu lalu di lima daerah.

Iklan
Iklan

"Kita telah menemui buku-buku lama dan baharu yang kandungannya dikhuatiri ada kaitan dengan ajaran tersebut. Ini termasuk penemuan gambar-gambar yang menunjukkan pemujaan atau pengagungan terhadap pemimpin lama mereka, yang menimbulkan kebimbangan bagi kita.

"Justeru itu, siasatan lanjut sedang dilakukan dan ia mungkin mengambil masa,” kata Mohd Fared pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea bersama Pembayar Zakat Perniagaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau mengulas mengenai Op Global yang dilaksanakan di lima daerah iaitu Johor Bahru, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, dan Segamat pada Khamis dan Jumaat lepas.

Dalam operasi tersebut, sejumlah kanak-kanak diselamatkan dan beberapa individu yang dipercayai anggota kumpulan itu turut ditahan.

Iklan

Mohd Fared berkata, JAINJ sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelaraskan sebarang tindakan lanjut berkaitan GISBH, termasuk dalam penetapan fatwa mengenai ajaran kumpulan tersebut.

Beliau juga memaklumkan bahawa setakat awal tahun ini hingga Ogos lepas, Johor berjaya mengumpul kutipan zakat sebanyak RM254.97 juta.

Mohd Fared optimis bahawa sasaran kutipan zakat sebanyak RM400 juta bagi tahun ini dapat dicapai dan berharap semua pihak yang berkenaan akan menunaikan tanggungjawab mereka membayar zakat. - Bernama