Tiga didakwa peras ugut keluarga Schumacher

Iklan
Michael Schumacher

DUSSELDORF - Pendakwa raya Jerman mendakwa tiga lelaki pada Rabu atas tuduhan memeras ugut keluarga bekas pelumba Formula 1 terkenal, Michael Schumacher, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Schumacher, juara dunia Formula 1 yang memecahkan rekod, mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ski pada akhir 2013 dan tidak muncul di khalayak ramai sejak itu. Keluarganya kekal merahsiakan keadaannya.

Iklan
Iklan

Seorang bekas pekerja keselamatan keluarga Schumacher didakwa menyediakan rakaman peribadi untuk pemerasan, manakala seorang lelaki lain dan anaknya dituduh menjalankan cubaan pemerasan itu, menurut pejabat pendakwa raya di bandar Wuppertal, Jerman barat.

Menurut pendakwa raya, suspek didakwa membuat beberapa panggilan kepada keluarga Schumacher menuntut €15 juta (AS$17 juta).

Iklan

Mereka didakwa mengancam untuk menerbitkan data peribadi sensitif di Internet jika wang itu tidak dibayar.

Bahan yang digunakan untuk jenayah itu didakwa diperoleh oleh seorang lelaki yang pernah bekerja sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan bagi keluarga Schumacher dan juga bertanggungjawab untuk mendigitalkan foto-foto peribadi.

Iklan

Pihak berkuasa merampas sejumlah besar barang bukti seperti cakera keras, pemacu USB dan telefon bimbit semasa penangkapan lelaki berkenaan.

Polis Jerman melancarkan siasatan mereka selepas menerima maklumat daripada penguat kuasa undang-undang Switzerland.

Menurut penyiasat, 'langkah teknikal' akhirnya menunjukkan bahawa pemeras ugut yang disyaki beroperasi dari Wuppertal.

Ini bukan kali pertama keluarga Schumacher menjadi sasaran percubaan pemerasan.

Pada 2017, seorang lelaki berusia 25 tahun dihukum oleh mahkamah di selatan Jerman kerana cuba memeras ugut isteri Schumacher, Corinna Schumacher, sebanyak €900,000.

Lelaki itu mengancam akan melakukan sesuatu terhadap anak-anak mereka, tetapi ditangkap selepas sebahagian fakta terlepas apabila dia menyertakan maklumat akaun bank sebenarnya dalam e-mel kepada Corinna Schumacher.

Dia dijatuhi hukuman penjara 21 bulan yang ditangguhkan. - Bernama-dpa