SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan untuk membaca dan memahami terma syarat yang ditetapkan pihak hotel sebelum membuat sebarang tempahan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada isu yang sedang tular di media sosial berhubung waktu daftar dan keluar industri perhotelan di Malaysia.
"MOTAC memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam serta pelancong berhubung perkara ini.
"Justeru, langkah ini (membaca dan memahami terma syarat) penting bagi mengelakkan berlaku salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini, tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel memaklumkan bahawa pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana ia tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan.
Bagaimanapun, MOTAC turut memberitahu bahawa pihaknya sedang memantau isu itu dengan lebih dekat dan memberikan perhatian serius terhadap pengusaha industri perhotelan yang berkaitan untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung hotel-hotel yang terlibat boleh menghubungi MOTAC melalui e-mail di info@motac.gov.my.