JAIS siasat 612 individu terlibat GISBH

Iklan
Mohammad Fahmi

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan terhadap 612 individu terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, siasatan dengan kerjasama penuh polis itu berjaya mengesan 386 individu yang diklasifikasikan sebagai mangsa diselamatkan akan ditemubual.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, seramai 184 individu pula sebagai orang yang disyaki (OYDS) untuk tujuan pendakwaan, manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi pihak polis.

"Sehingga petang ini (Rabu), lebih 100 OYDS telah ditangkap oleh JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mohammad Fahmi memberitahu, semua individu akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106, 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016, serta di bawah Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu juga telah melantik lapan pegawai penyiasat (IO) khas untuk meneruskan siasatan beberapa kes penting melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.

Iklan

"Tangkapan polis terhadap individu-individu itu dijangka membolehkan JAIS mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor," ujar beliau.

Beliau memberitahu, JAIS juga telah menutup semua sekolah Islam di bawah GISBH dengan mengeluarkan notis penutupan mengikut Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan 2001.

Kata beliau, rumah amal GISBH yang dikenal pasti juga telah diisytiharkan tidak berdaftar mengikut enakmen sama dengan satu notis pengisytiharan dengan semuanya berjalan serentak pada Isnin lalu.

Jelas Mohammad Fahmi, JAIS juga telah mengemukakan dan telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Selasa untuk mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, dan menutup Surau Al-Ikhwan yang juga terletak di kawasan sama.

"Berikutan tindakan GISBH memungut wang atau sumbangan daripada umat Islam untuk kepentingannya dan kumpulannya menerusi rumah-rumah amal mereka, kerajaan negeri akan berbincang dengan MAIS.

"Satu mekanisme mudah dan cepat diwujudkan bagi membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan dari mana-mana pihak bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak," tambah beliau.

Ujar beliau, langkah itu bertujuan memastikan sumbangan umat Islam berniat baik dan ikhlas tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama.

Menurut Mohammad Fahmi, berdasarkan taklimat kedudukan semasa tindakan JAIS terhadap GISBH, beliau berpandangan agensi hal ehwal Islam itu telah mengambil tindakan segera, wajar dan tepat menurut bidang kuasanya selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ini boleh dilihat melalui usaha-usaha proaktif JAIS sejurus selepas Ops Global dilaksanakan oleh polis pada 11 September lalu

"Pada hari sama, JAIS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Pengarah JAIS untuk mewujudkan satu pasukan yang akan memberi perhatian dan mengambil tindakan khusus dalam perkara berkaitan dengan tangkapan dibuat oleh pihak polis," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam di negeri ini diminta sentiasa menjadi mata dan telinga kepada MAIS dan JAIS dalam mengesan pergerakan awal, mengekang dan membanteras apa juga bentuk penyelewengan akidah.

Orang ramai boleh membuat aduan ke Talian Hotline JAIS 1800-88-2424.