Tetapkan amaun minimum nafkah anak

Iklan
Nilai minimum kadar nafkah anak perlu ditetapkan kepada satu amaun yang ideal bagi menjamin bekas suami tidak culas dalam menunaikan tanggungjawab syarak berkenaan. Gambar hiasan.

PADA 5 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan kerajaan dalam usaha membangunkan formula bagi memudahkan penentuan kadar nafkah oleh Mahkamah Syariah kepada anak daripada pasangan yang bercerai.

Justeru, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa mencadangkan supaya nilai minimum kadar nafkah anak perlu ditetapkan kepada satu amaun yang ideal bagi menjamin bekas suami tidak culas dalam menunaikan tanggungjawab syarak berkenaan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, berdasarkan senario ekonomi semasa yang semakin mencabar, amaun paling minimum boleh ditetapkan bagi nafkah seorang anak ialah RM500.

Bagaimanapun, saranan tersebut menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Iklan

Ada yang bersetuju dan ada pula sebaliknya. Masing-masing mempunyai pandangan dan hujah yang tersendiri.

SOKONG

Iklan

Tidak perlu naik turun mahkamah buat tuntutan

Saya setuju dengan saranan itu kerana saya juga merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak. Apabila melibatkan nafkah anak-anak, ada masanya kita sukar hendak tuntut daripada bekas suami.

Dengan adanya penetapan seperti ini, saya fikir ia lebih mudah. Kita tidak perlu melalui pelbagai urusan seperti naik turun mahkamah atau minta perintah tuntutan nafkah.

Jika bekas suami mempunyai penyakit atau kekangan untuk membayar kos tertentu, boleh sahaja diberikan kelonggaran.

Kita tengok kemampuan bekas suami sebagai pemberi nafkah. Kalau dia mampu atau lebih daripada itu, mungkin boleh beri nafkah lebih.

Tetapi jika dia tidak mampu mungkin kita boleh bertolak ansur, namun bergantung kepada keadaan kesihatan dan ekonomi semasa bekas suami.

Bayangkan satu anak dengan amaun nafkah RM500, dua orang mungkin mencecah RM1,000.

Kalau lebih daripada empat atau lima anak, mungkin jumlahnya lebih tinggi. Sebab itu kita perlu tengok pada kemampuan bekas suami itu sendiri.

- Peniaga, Azura Mohd, 38

Azura

Ramai culas, bayar nafkah ikut suka hati

Sebagai ibu tunggal saya amat bersetuju saranan menetapkan nilai minimum nafkah anak memandangkan ramai suami di luar sana culas dalam membayar nafkah.

Sewaktu di mahkamah mereka bersetuju dengan amaun yang diminta hakikatnya bila tiba waktu pembayaran, mereka bayar ikut suka hati dan ada kalanya tidak bayar langsung.

Ibu tunggal terpaksa berusaha sendiri demi kelangsungan hidup untuk membesarkan anak-anak.

Untuk mengadu kepada Mahkamah Syariah semula mengambil masa.

Namun, ia belum tentu lagi dapat kerana ada suami yang bijak memberi alasan mereka tidak mampu kerana terpaksa menanggung keluarga isteri kedua.

Itulah hakikatnya yang terjadi. Jumlah RM500 adalah tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup tinggi kini.

Cuba bayangkan anak yang bersekolah, bayaran tambang bas sekolah saja sudah melebihi RM100, belanja anak mencecah RM10 sehari untuk sesi pagi dan petang.

Belum kira lagi bayaran mengaji atau sekolah agama. Jadi di manakah bayaran makan seharian anak?

Adakah ini semua wajib ditanggung oleh ibu memandangkan anak tinggal bersama? Untuk anak yang sedang belajar di universiti, RM500 adalah jumlah yang tidak masuk akal. Mahkamah perlu lihat semula perkara ini.

- Suri rumah, Rosni Osman, 56

Rosni

BANGKANG

Kadar nafkah biar selari dengan keperluan anak

Agak sukar untuk tetapkan amaun kadar nafkah anak sebab keperluan mereka berbeza ikut umur.

Contohnya jika amaun nafkah ditetapkan RM500, pada saya ia mungkin sesuai untuk anak berusia bawah dua tahun.

Ini kerana anak bawah dua tahun kebiasaannya kita perlu fikir soal pakaian, makanan, susu, peralatan asas, lampin dan bayaran pengasuh.

Jika anak itu lebih daripada dua tahun, mungkin bayaran itu meningkat lagi. Ini saya belum sentuh soal jika anak itu sakit, sudah tentu kena fikir kos ubat dan keperluan penjagaan diri.

Saya tiada masalah jika mahu laksanakan nilai minimum kadar nafkah anak tetapi pastikan ia selari dengan keperluan mereka pada ketika itu.

Situasi pasangan bercerai dalam menguruskan anak tentu memberi pengalaman berbeza. Kita belum ambil kira lagi soal kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang akan memberi kesan kepada perbelanjaan mereka.

Hendak melaksanakan ketetapan itu boleh, tetapi saya harap kerajaan buat kajian menyeluruh dahulu.

- Peniaga, Izzul Islam Che Las, 32

Izzul Islam

Situasi kewangan berbeza untuk setiap keluarga

Saya kurang bersetuju dengan cadangan menetapkan nilai minimum nafkah anak kerana setiap keluarga berdepan situasi kewangan yang berbeza.

Bagi sesetengah bekas suami berpendapatan rendah, kadar tetap mungkin akan memberi beban kepada mereka walaupun niatnya baik untuk memastikan keperluan anak-anak terjaga.

Kita kena lihat juga, setiap ibu bapa mempunyai sumber pendapatan yang berbeza berdasarkan pekerjaan dan komitmen kewangan sedia ada.

Jadi tidak semua ibu bapa mampu kemampuan membayar kadar nafkah yang sama terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil atau bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Sekiranya kadar nafkah yang ditetapkan terlalu tinggi, ia mungkin menimbulkan beban kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh sesetengah ibu bapa.

Saya fikir adalah lebih baik jika mahkamah syariah menilai setiap kes secara individu, mengambil kira kemampuan kewangan dan keperluan anak supaya keputusan lebih adil untuk kedua-dua pihak.

Pendekatan ini boleh memberi lebih fleksibiliti tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.

- Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat, Muhammad Amirul Helmy Yahya, 30

Amirul Helmy