Isu GISBH: Henti tunding jari, bantu proses pemulihan

Iklan
Seramai 402 penghuni rumah amal milik GISBH diselamatkan dalam Op Global baru- baru ini.

MUTAKHIR ini negara dikejutkan dengan beberapa siri pembongkaran aktiviti GISB Holdings Sdn Bbd (GISBH) yang mengundang perdebatan masyarakat.

Iklan
Iklan

Entiti yang berselindung di sebalik nama Islam itu didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Pada 11 September lalu, polis mula mengadakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Iklan

Rentetan itu seramai 402 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan.

Sehingga Ahad lalu, Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis dengan 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, dalam operasi yang disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Susulan itu, Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Selain itu Kelantan pula hanya akan memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam entiti itu sebagai sesat sekiranya ahli kumpulan adalah lanjutan atau bekas pengikut Al-Arqam.

Oleh itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menuntut siasatan dan penelitian lanjut serta bukti sahih sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan diambil.

Ketika ini siasatan masih dijalankan dan sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti kita menginginkan pengakhiran kes ini yang terbaik kepada semua pihak.

Namun janganlah pula kita bersifat menghukum. Masyarakat Islam perlu bersama-sama membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar daripada kesesatan.

Proses pemulihan ini penting bagi menjamin kesejahteraan serta masa depan lebih baik kepada anakanak mangsa yang masih jauh perjalanan kehidupannya.

Di sinilah kumpulan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing supaya mereka tidak rasa terasing di negara ini.

Pelbagai bantuan boleh diberikan kepada mangsa seperti menyediakan sokongan psikologi serta kaunseling kepada mangsa untuk pulih dari tekanan mental dan emosi akibat manipulasi ajaran sesat.

Agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga boleh berperanan menyediakan tempat perlindungan selamat termasuk akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan fizikal.

Jabatan agama Islam juga boleh mengambil peluang ini untuk memberikan bimbingan agama yang sahih bagi memulihkan keyakinan spiritual mangsa-mangsa yang telah didoktrin oleh jemaah GISBH.

Sekalung penghargaan kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang telah menyatakan kesediaan bekerjasama dan menawarkan bantuan khususnya hal-hal berkaitan syariah kepada mangsa terutama isteri dan anak-anak yang diselamatkan daripada entiti itu.

Malah Presidennya, Musa Awang memberi jaminan antara bantuan yang akan diberikan ialah nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak dan hak penjagaan anak-anak.

Tindakan ini harus dipuji dan dijadikan contoh oleh persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi lain untuk sama-sama membantu proses pemulihan mangsa-mangsa terlibat.

Buat masa ini, semua pihak wajar berhenti menuding jari mencari kesalahan, sebaliknya menumpukan kepada usaha bantuan serta pemulihan mangsa khususnya wanita dan kanak-kanak.

Mereka juga berhak mendapatkan kehidupan lebih baik di masa akan datang, seterusnya menjalani hari-hari mendatang tanpa diskriminasi masyarakat.

* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian