PASIR MAS - Penduduk Pulau Buih, Kangkong di sini bakal menikmati kemudahan masjid yang lebih moden dan luas apabila pembinaan Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Kota Siti Mariam siap kelak.
Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, masjid tahfiz pertama yang dibina di Pulau Buih itu bakal dilengkapi dengan ruang solat lelaki dan wanita, kuarters, parkir, padang dan dataran.
Menurut beliau, masjid yang dibina pada 3 Mac tahun lalu itu turut mempunyai dewan makan, dewan terbuka manakala tempat wuduknya lebih luas.
"Pembinaan masjid ini sudah lama dirancang iaitu pada Jun 2006 dengan dana keseluruhan sebanyak RM 13.7juta," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, binaan kompleks masjid seluas kira-kira 3882.7 meter persegi itu mampu memuatkan 600 jemaah pada satu-satu masa.
Katanya, pihak pengurusan masjid menerima dana infaq sebanyak RM1.5 juta untuk pembinaan tersebut.
"Dana tambahan diharap dapat membantu mempercepatkan proses dan kerja-kerja pembinaan bagi membolehkan pelajar melakukan aktiviti dengan selesa dan sistematik," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Masjid Tahfiz Al-Ayubi di nombor 03120010014936 atau menghubungi Zulta di talian 012 951 9426.