SHAH ALAM - Grup Buku Karangkraf tampil dengan buku terjemahan terbaharu berjudul Cerita Sebelum Bercerai hasil nukilan penulis Indonesia, Fahd Pahdepie.
Editornya, Rosmawati Ahmad berkata, Cerita Sebelum Bercerai yang disampaikan secara story telling itu berkisar tentang refleksi perkahwinan antara suami dan isteri dengan memfokuskan isu-isu yang jarang disentuh, namun penting bagi setiap pasangan tahu bagaimana untuk menanganinya.
Menurutnya, perkongsian yang diselitkan dalam karya tersebut mengingatkan bahawa perceraian sepatutnya menjadi pilihan terakhir selepas semua usaha untuk memperbaiki hubungan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak.
"Pernikahan memerlukan komitmen, pengertian, dan cinta yang terus berkembang meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
"Justeru, buku ini amat relevan buat pasangan suami isteri sama ada yang sedang melalui fasa sukar atau ingin memperkuatkan ikatan cinta mereka,” katanya pada Rabu.
Ditanya mengenai alasan memilih karya penulis dari negara seberang, Rosmawati memaklumkan, isi kandungannya relevan dengan situasi dihadapi kebanyakan pasangan di negara ini, selain terdapat bait-bait perkataan yang amat menyentuh jiwa.
Tambahnya, pasangan sudah berkahwin pasti lebih mudah untuk memahami isu yang diketengahkan kerana buku tersebut turut menerapkan konsep ‘membaca dengan jiwa’ disebabkan lenggok bahasanya.
"Justeru, orang ramai boleh mendapatkan buku ini di Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang akan berlangsung dari 27 September hingga 6 Oktober ini.
"Buku ini dijual pada harga RM30 dan kami juga akan beri potongan harga istimewa buat pembeli bertuah.
"Boleh juga dapatkan di laman sesawang Karangkraf Mall atau layari media sosial kami untuk maklumat lanjut,” ujarnya.