JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan empat warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan mengemis di kawasan-kawasan pasar dan malam dan premis di sekitar bandar raya ini dengan menggunakan kekurangan fizikal serta kecacatan anggota bagi meraih simpati orang ramai.
Menurut Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, kesemua yang ditahan melibatkan empat lelaki warga China berusia 36 hingga 67 tahun dalam Ops Serkap yang dijalankan Isnin lalu hasil risikan selama tiga minggu.
"Ini ditambah dengan sikap pemurah rakyat negara ini yang menyebabkan mereka bertindak lebih agresif apabila mendekati orang ramai.
"Siasatan mendapati, dengan hanya bermodalkan kekurangan fizikal dan kecacatan anggota ini, pengemis-pengemis ini mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.
Tambah Mohd Rusdin, kegiatan mereka ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan mereka sering berpindah randah dan disyaki diatur pihak sindiket.
Malah, ketika operasi dilakukan, terdapat cubaan untuk melarikan diri ke Ipoh dengan menaiki bas di sebuah terminal dekat sini.
Pada operasi berkenaan, pihak JIM Johor turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM900,000.
Kesemua warga asing berkenaan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.