Panduan kekal sihat pada usia emas

Iklan
PENTINGNYA kepelbagaian, keseimbangan dan keserderhanaan ketika memilih makanan.

Tubuh perlu bantuan akibat perubahan yang berlaku

PENUAAN merupakan proses semula jadi yang berlaku kepada semua manusia dan tidak dapat dielak.

Penjagaan kesihatan seawal usia sehingga dewasa mempengaruhi tahap kesihatan seseorang menjelang usia emas mereka.

Iklan
Iklan

Pada usia emas, banyak perubahan berlaku dari segi fizikal, psikologi dan sosial. Penjagaan pemakanan semasa usia emas dapat membantu mereka mengekalkan berat badan unggul bagi kehidupan yang lebih berkualiti.

Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pemakanan Dewasa & Warga Emas, Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Siti Adibah Ab Halim baru-baru ini berkongsi kaedah terbaik untuk kekal sihat terutamanya pada usia emas.

Iklan

Berikut adalah perincian pemakanan yang boleh diamalkan pada usia emas:

1. Mengambil makanan dengan konsep Suku-Suku Separuh Kementerian Kesihatan.

Iklan

Utamakan pengambilan karbohidrat kompleks seperti beras perang, roti bijirin penuh, oat dan biskut mil penuh. Karbohidrat kompleks memberi rasa kenyang yang lebih panjang serta mengandungi serat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh.

Pastikan protein yang lembut dipilih seperti ikan, telur, tauhu, tempe, keju, dadih, kacang rebus.

Daging perlu dicincang halus, jika tidak dapat mengunyah dengan baik. Dalam pada itu, ambil dua sajian buah dan tiga sajian sayur setiap hari.

Hal ini sangat penting untuk:

i) Menjaga kesihatan mata.

Tingkatkan pengambilan vitamin A yang boleh diperoleh dari telur, sayur-sayuran berdaun hijau atau kuning seperti bayam, sawi, labu, lobak merah dan buah-buahan berwarna kuning atau merah seperti betik, mangga dan tembikai.

ii) Membantu meningkatkan kesihatan tulang.

Tingkatkan pengambilan kalsium (daripada susu dan hasil tenusu seperti dadih dan keju, ikan bilis dan sardin yang dimakan bersama tulangnya, kekacang dan hasil kekacang seperti tempe dan taufufa dan sayuran berdaun hijau). Penting sekali, minum satu hingga dua gelas susu sehari.

MINUM air kosong antara enam hingga lapan gelas sehari.

iii) Meningkatkan selera makan dan mengurangkan masalah sukar tidur (insomnia) serta keletihan.

Ambil makanan daripada bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti roti bijirin penuh, kekacang, daging dan ikan yang mengandungi vitamin B1 (Tiamin).

2. Warga emas perlu makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari dengan tambahan satu hingga dua kali snek sihat dan makan dalam kuantiti yang sedikit tapi kerap.

Sebagai contoh, snek sihat yang boleh diambil ialah buah-buahan, biskut bijirin penuh dan kuih rendah gula dan lemak.

3. Pastikan hidangan untuk makan malam adalah lebih ringan berbanding sarapan dan makan tengah hari dan air kosong diambil enam hingga lapan gelas sehari.

SITI ADIBAH AB HALIM.

PROFIL

Siti Adibah Ab Halim

Ketua Penolong Pengarah

Sektor Pemakanan Dewasa & Warga Emas

Bahagian Pemakanan

Kementerian Kesihatan Malaysia