SEREMBAN - Keluhan rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi hari ini tidak pernah dilupakan kerajaan, malah isu rakyat sentiasa diangkat sebagai agenda utama.
Keprihatinan kerajaan itu terbukti menerusi pelbagai bentuk bantuan disediakan bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga.
Tidak terkecuali yang menerima manfaat ialah golongan penoreh getah dan ia memberikan kelegaan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
Bantuan Pengeluaran Getah dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) antara inisiatif kerajaan yang telah memberi impak besar kepada golongan penoreh getah.
Penoreh getah dari masyarakat Orang Asli Kampung Panchor di Jempol, John Baharin Ayom, 59, berkata, kehidupan sebagai penoreh ada sebahagiannya diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Oleh sebab itu, John berkata, ada sebahagian daripada mereka yang terpaksa membuat kerja-kerja sampingan untuk menyara keluarga.
"Jika saya tidak boleh menoreh, saya ada mengusahakan kolam ikan dan ia membantu menampung perbelanjaan kami sekeluarga.
"Kehidupan penoreh ini paling memberi kesan apabila tiba musim tengkujuh kerana kami memang tidak boleh pergi menoreh. Jika musim daun luruh pula, susu getah akan berkurangan yang menjejaskan pendapatan kami,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, dia bersyukur kerana nasib pekebun kecil getah tidak pernah diabaikan oleh pihak kerajaan apabila pelbagai insentif bantuan disediakan.
Tambahnya, BMT misalnya yang dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan penoreh.
"Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan untuk anakanak yang kerajaan sediakan, memberikan manfaat kerana membantu meringankan beban kehidupan kami keluarga.
"Kalau tiada semua bantuan ini, memang susah. Kalau nak harap pendapatan sebagai penoreh ini sematamata memang tidak cukup,” katanya.
Biaya kos rawatan hospital
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Chulah Nimat, 64, berkata, bantuan BMT dimanfaatkan sepenuhnya untuk perbelanjaan harian dan kos rawatan hospital.
Chulah biasanya hanya mampu memperoleh pendapatan menoreh getah sekurang-kurangnya RM400 sebulan.
"Saya tidak tahu membuat kerja lain kerana tidak bersekolah. Saya sudah tua dan selalu menghadapi masalah kesihatan.
"Syukurlah kerajaan ada beri bantuan. Kalau dulu ada suami, sekarang semuanya sendiri selepas dia meninggal dunia 14 tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, dengan wang bantuan yang diterima dapatlah dia membeli barangan dapur, membayar bil utiliti dan kos rawatan di hospital.
Ujar Chulah, kalau ikutkan ia memang tidak mencukupi, tetapi setidak-setidaknya ada ihsan daripada kerajaan membantu golongan pekebun kecil getah sepertinya.
Bagi penoreh lain, Radzil Jamal, 41, pula berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan menoreh untuk menyara keluarga termasuk seorang daripada dua anaknya masih bersekolah.
Katanya, pendapatan yang diperolehi sememangnya tidak mencukupi lebih-lebih lagi apabila tiba musim tengkujuh, ditambah pula dengan harga lantai getah yang tidak seberapa.
"Kadang-kadang kalau musim tengkujuh, kami pergi kutip biji getah jika ada permintaan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang dapat menambah pendapatan kami,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, BMT yang diterima daripada kerajaan amat membantu dan memberikan kelegaan kepadanya sebagai ketua keluarga.
"Dengan duit bantuan itulah saya guna untuk menampung hidup kami sekeluarga. Kami juga menerima bantuan kerajaan yang lain seperti STR dan Bantuan Awal Persekolahan yang sangat bermakna buat kami,” katanya.
Bernilai
Sementara itu, salah seorang penoreh getah dari Padang Terap, Zarina Che Kamis, 58 berkata, pelbagai bantuan yang diterima daripada kerajaan membantunya sebagai seorang ibu tunggal.
Zarina dari Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang di sini berkata, pendapatannya sebagai penoreh getah tidak menentu terutamanya pada musim hujan.
"Saya perlu menoreh untuk menampung perbelanjaan harian sekali gus ia boleh membantu anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jika cuaca baik dia lazimnya memperolehi pendapatan menoreh kira-kira RM500 sebulan.
"Wang itu akan digunakan dengan sebaiknya untuk membayar bil elektrik dan air. Saya tidak boleh menggunakan wang yang diperolehi untuk keperluan lain, kerana tidak mencukupi.
"Alhamdulillah, bantuan BMT yang diperolehi dibelanjakan untuk membaiki motosikal yang digunakan untuk ke kebun, isi minyak dan lain-lain lagi urusan kebun,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.
Jelasnya, sebagai golongan B40, dia turut menerima STR sebanyak RM150 dan digunakan untuk membeli barang dapur seperti gas dan barang basah untuk keluarga.
Beli alat menoreh
Sementara itu, seorang penoreh getah, Mohd Daud Othman, 55 berkata, wang RM800 yang diterimanya itu digunakan untuk membeli pisau menoreh, kereta sorong dan membaiki motosikal yang digunakan untuk ke kebun.
"Kereta sorong ni setahun dah rosak, kena beli baru pula. Pisau menoreh pula selepas lima enam bulan, kena beli baru juga. Bantuan berkenaan boleh membantu saya membeli semua barang yang diperlukan,” katanya.
Ujar bapa kepada lima orang cahaya mata ini, dia keluar menoreh seawal jam 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari.
Mohd Daud berkata, selain bantuan yang diterima sebagai penoreh, dia juga merupakan penerima STR.
"Saya menerima bantuan STR sebanyak RM1,200 dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan rumah dan anak ke sekolah.
"Anak saya juga menerima Bantuan Awal Persekolahan iaitu RM150. Besar nilainya pada kami yang memerlukan, ia boleh meringankan beban saya untuk membantu anak membeli buku sekolah dan barang yang diperlukan,” katanya.
Pendekatan menyeluruh
Manfaat yang diterima oleh para penoreh berkenaan merupakan hasil limpahan pelaksanaan Kerangka Ekonomi Madani yang menumpukan kepada penstrukturan semula ekonomi Malaysia ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi, berdaya saing dan lestari.
Dilancarkan pada Julai tahun lalu, Kerangka Ekonomi tersebut bermatlamatkan memperkasakan rakyat menerusi tiga teras utama iaitu Menaikkan Siling, Tatakelola Baik dan Reformasi Sektor Awam serta Menaikkan Lantai bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pelaksanaan kerangka itu turut disokong oleh enam nilai Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan Ihsan. Manfaat yang diterima oleh penoreh berkenaan merupakan antara hasil limpahan pelaksanaan Kerangka Ekonomi Madani melibatkan aspek teras ketiga iaitu Menaikkan Lantai yang bermatlamat menaikkan darjat hidup rakyat.
Malah, di bawah teras ini juga kerangka ekonomi yang dilancarkan pada Julai tahun lalu disokong dengan sub-teras kelima iaitu Perlindungan Sosial Untuk Semua yang memperluaskan jaringan perlindungan sosial untuk semua bagi melindungi rakyat sekiranya berlaku halhal tidak diingini.
Mengukuhkan lagi keberkesanan pelaksanaan teras itu, kerajaan menyokong dengan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melibatkan peruntukan RM500 juta, Sumbangan Asas Rahmah (RM700 juta), Akaun Fleksibel KWSP (RM8.9 bilion jumlah pengeluaran) dan Subsidi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membabitkan perbelanjaan sebanyak RM100 juta.