Peruntukan lebih RM4.2 juta persediaan hadapi banjir di Terengganu

Iklan
Kerajaan memperuntukkan lebih RM4.2 juta bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini. Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan memperuntukkan lebih RM4.2 juta bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat menyatakan jumlah itu merangkumi peruntukan RM2.2 juta daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta daripada kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, peruntukan tersebut meliputi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain kepada mangsa banjir.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri bermula awal bulan depan.

Iklan

"Keutamaan akan diberikan di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, JKM menyediakan 590 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,590 mangsa banjir pada tahun ini.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat latihan dan persiapan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut berikutan ramalan musim tengkujuh yang dijangka berlaku lebih awal pada kali ini.

"Saya difahamkan semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir untuk memastikan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar.

"Antara persiapan awal dilakukan adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah selain latihan simulasi banjir di peringkat daerah masing-masing telah dilaksanakan baru-baru ini," jelasnya.