KUALA LUMPUR - Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menganjurkan Seminar Meningkatkan Kapasiti Penerbitan Siaran Langsung Dengan Teknologi 5G (Elevating Live Production with 5G Network) di Dewan Cendekiawan IPPTAR dan dihadiri oleh 50 peserta dalam kalangan pemain industri penyiaran.
Program tersebut merupakan usaha proaktif untuk memperkenalkan teknologi 5G dalam penyiaran secara menyeluruh untuk membantu peserta seminar memahami bagaimana teknologi 5G boleh memacu perubahan dalam kualiti dan proses siaran langsung di kaca telavisyen dan secara maya.
Selain itu, seminar berkenaan juga mengupas peluang dan cabaran yang bakal dihadapi oleh penyiar tempatan dalam penerapan teknologi tersebut. Teknologi 5G merupakan perkembangan terkini dalam rangkaian mudah alih, menawarkan kelajuan data yang lebih tinggi, kelewatan (latency) yang lebih rendah dan kapasiti rangkaian yang lebih besar berbanding teknologi 4G.
Dalam konteks penyiaran, teknologi ini membuka peluang baru untuk meningkatkan kualiti penyiaran langsung serta menyokong inovasi seperti Realiti Virtual (VR) dan Realiti Terimbuh atau Augmented Reality (AR).
Koordinator seminar, Aini Noor Liana Azmi menegaskan seminar ini amat penting kerana pelbagai perkongsian maklumat mengenai teknologi 5G dapat dikongsikan antara pemain industri, penyedia pelantar siaran dan kandungan serta mereka yang bekerja secara langsung dalam bidang ini.
"Teknologi 5G merupakan inovasi yang penting pada masa kini khususnya dalam bidang penyiaran. Seminar ini memberi peluang kepada para peserta untuk berhubung dengan pakar dan rakan industri lain bagi memahami dengan lebih mendalam tentang aplikasi 5G ini terutama dalam bidang penyiaran.
"Seminar kali pertama dianjurkan ini berfungsi sebagai medium komunikasi dua hala antara pemain industri dengan penyedia bahan siaran dalam memperkasakan kefahaman para peserta mengenai bagaimana teknologi ini boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan dan interaktiviti siaran langsung.
"Siaran langsung seperti perlawanan pelbagai jenis sukan khususnya bola sepak dan badminton pastinya memberi satu dimensi dan cabaran kepada penyiar dan pemain industri dapat memenuhi keperluan audien bagi siaran secara langsung,” jelasnya.
Pada sesi forum tersebut, Pengerusi Broadcast Technology Working Group, Malaysian Technical Standards Forum Bhd -MTSFB, Dr. Ahmad Zaki Mohd Salleh menekankan pentingnya penerapan teknologi 5G dalam industri penyiaran bagi memastikan Malaysia kekal relevan dalam lanskap penyiaran global yang semakin kompetitif.
"Teknologi 5G bukan sahaja meningkatkan kelajuan dan kapasiti siaran langsung, malah berpotensi untuk membuka ruang kepada pengalaman tontonan yang lebih interaktif dan responsif.
"Cabaran sebagai penyiar pada hari ini semakin kompetitif kerana persaingan bahan siaran kandungan di pelantar media sosial dan penyedia kandungan berbayar seperti Netflix, Viu, Prime, Loklok dan sebagainya. Namun, kelebihan penyiar seperti RTM dan Media Prima untuk siaran program secara live memberi kelebihan lepada stesen TV ini.
"Kewujudan teknologi 5G bakal membawa perubahan besar pemain industri penyiaran mereka menerbit dan menyampaikan mesej dalam setiap program TV yang diterbitkan khususnya siaran langsung (Live) kepada para penonton,” kata beliau.
Antara tenaga pengajar dan penceramah terkemuka yang berkongsi pengalaman dan ilmu mereka ialah Prof. Emeritus Dr. Tharek Abdul Rahman (Penasihat MCMC), Tham Yoong Cheong (Pengarah II, Jabatan Pembangunan Penyiaran, Bahagian Pembangunan Ekosistem Digital MCMC), Dr. Ahmad Zaki Mohd Salleh (Pengerusi Broadcast Technology Working Group, Malaysian Technical Standards Forum Bhd -MTSFB), Ts. Ahmad Shafiq Mirza Mansor (Penolong Pengarah Unit Pusat Pengurusan Berita) dan Ahmad Effendy Ali (Jurutera Astro All Asia Broadcast Centre).