14 jenis dadah bernilai lebih setengah juta dilupuskan

Iklan
Zulkafli (kanan) menunjukkan rampasan kes dadah dan ketum yang akan hantar kepada kontraktor bagi tujuan pelupusan.

IPOH - Polis Perak melupuskan 14 jenis dadah dianggarkan bernilai RM545,676 membabitkan kes dari tahun 2000 hingga 2023.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua eksibit tersebut adalah hasil serbuan dan rampasan di semua 15 daerah yang telah selesai daripada prosiding perbicaraan di mahkamah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dadah yang dilupuskan ialah heroin seberat 9.1 kilogram (kg), ganja (7.1 kg), cecair ganja (750 mililiter), syabu (1.6 kg), cecair syabu (1 mililiter), ketamin (479 gram), yaba (0.8 gram) dan eramin 5 (2.51 gram).

Zulkafli (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas untuk dihantar kepada pelupusan.

"Kesemua barang kes dadah dan ketum yang dilupuskan ini melibatkan 4,313 kertas siasatan," katanya pada sidang akhbar pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di sini, pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, pelupusan dadah akan dilaksanakan kontraktor Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Kesemua barang kes dadah dan ketum yang dilupuskan melibatkan 4,313 kertas siasatan yang selesai perbicaraan.

"Manakala pelupusan barang kes ketum dihantar ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal di Papan di sini," katanya.

Iklan

Sementara itu, Zulkafli berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Polis Perak berjaya menghasilkan rampasan berbagai jenis dadah berjumlah RM5.9 juta dengan dadah tertinggi jenis syabu, heroin dan ketamin.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 14,234 pesalah dadah berjaya ditangkap antaranya melibatkan 366 individu yang ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati.

"Dalam tangkapan ini, kita juga berjaya menumpaskan 88 dalang atau perancang serta pembiaya dalam sindiket dadah, kesemua mereka ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas 1895.

"Bagi tindakan perundangan pula, sebanyak 4,514 kertas siasatan telah dibuka dan 95 peratus daripadanya iaitu 4,270 kes telah dibawa kepada pertuduhan," katanya.