Nasi Ujang jadi menu tarikan di PRK Mahkota

Iklan
Pengasas Lagenda Nasi Ujang, Marzri Mat Khalil menunjukkan lauk kambing dan ayam bagi menu nasi ujang yang dijual

KLUANG - Menu 'Nasi Ujang' yang merupakan identiti bagi daerah ini sejak lebih 30 tahun lalu menjadi antara sajian laris sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang sedang berlangsung di sini.

Boleh dikatakan hampir setiap restoran dan warung menawarkan hidangan lauk ringkas yang berasaskan daripada pelbagai bahan seperti ayam, daging, kambing dan makanan laut itu.

Iklan
Iklan

Sebalik popularitinya, menu tersebut sebenarnya mula diasaskan oleh seorang peniaga yang membuat inovasi masakan ini 32 tahun lalu.

Pengasas Lagenda Nasi Ujang, Marzri Mat Khalil, 52, berkata, sejarah menu itu bermula pada tahun 1992, ketika dia cuba mencipta menu baharu.

Nasi ujang berasaskan lauk daripada pelbagai bahan seperti ayam, daging, kambing, dan makanan laut.

Iklan

Menurutnya, keunikan menu itu terletak pada pes yang diolah sendiri, selain kepedasannya yang menjadi kegemaran ramai.

"Nasi ni ringkas sangat. nasi putih, dengan satu lauk. Ketika itu saya belum kahwin, umur 21 tahun.

Iklan

"Itu yang jadi nama nasi ujang dan kebetulan masa itu ada Majalah Ujang dan saya suka Majalah Ujang masa itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Tambah Marzri, nasi ujang yang dijual itu juga mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana mula dijual di kedai makan terletak di Stesen Keretapi Lama Kluang sebelum berpindah ke lokasi lain.

Kini, terdapat dua cawangan perniagaan nasi ujang yang diusahakannya bersama keluarga di daerah ini.

"Kalau balik Kluang, tak kira lah orang Kluang atau bukan, dia datang akan rindu, biasanya kawan lama, ada yang pedas, ada yang untuk budak, ada yang 'pedas gila',"katanya.

Pada masa sama, Marzri mengakui PRK DUN Mahkota yang sedang berlangsung memberi limpahan rezeki buatnya apabila jualan harian turut meningkat.

Katanya, dia juga gembira dengan sambutan orang ramai lebih-lebih lagi mereka yang teruja merasai menu nasi ujang buat kali pertama.

"Alhamdulillah, ada juga tempahan daripada mereka yang datang untuk PRK ini. Jualan harian mencecah 400 pinggan tidak termasuk tempahan menerusi p-hailing.

"Selepas jualan menurun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PRK ini bawa rezeki buat perniagaan saya.

"Tanpa nasi ujang mungkin saya sudah tutup perniagaan," katanya.