KUANTAN - Seorang pelukis yang menghidap kanser tiroid mengakui puas apabila setiap karya seni yang dihasilkan dibeli oleh pelanggan.
Meskipun berdepan dengan cabaran kesihatan sejak 2012, namun Ahmad Nazrin Mohamed Noor, 57, tidak pernah menyerah kalah, sebaliknya terus menghasilkan lukisan berkonsep abstrak dekoratif, hasil seni yang lebih kepada abstrak dan bukan secara perincian realistik.
Menurutnya, semua ini dilakukan bagi mencari ketenangan, selain berkongsi hasil kreatifnya kepada mereka yang berminat.
"Melukis dan bermain dengan warna satu terapi minda buat saya. Pernah bekas murid hubungi saya dan memaklumkan melihat lukisan saya di sebuah restoran. Mereka kenal lukisan kerana setiap karya saya ada lakaran rama-rama yang melambangkan cantik, bebas dan ampuh.
"Jadi, timbul keseronokan dalam diri kerana penat lelah saya menghasilkan lukisan dihargai, apabila ia tergantung pada dinding rumah mahu pun premis perniagaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian Galeri ARTIC di Jalan Gambut, di sini pada Khamis.
Dia yang sudah tiga tahun bergelar pelukis sepenuh masa selepas bersara awal sebagai guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, merancang untuk mengadakan pameran solo yang ke-11 di galeri miliknya.
Ahmad Nazrin memberitahu, pameran bertemakan 'The Scenic Sights of Pahang 2.0’ akan berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Oktober depan, memaparkan lukisan 11 daerah di Pahang.
Beliau berkata, pameran ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat untuk melihat dan membeli satu lukisan asli menghiasi dinding rumah mereka.
"Saya ada sifu (guru) yang selalu menasihatkan saya supaya tidak berputus asa dan teruskan dengan menganjurkan pameran solo.
Dalam pada itu, Ahmad Nazrin berkata, 11 lukisan yang dihasilkan berkonsep sumber alam daripada risalah Tourism Pahang dan ia dalam gaya abstrak dekoratif menggunakan media campuran.
Tambahnya, setiap lukisan diilhamkan daripada pemandangan indah di setiap daerah dan mengambil masa lebih tiga bulan untuk disiapkan.
"Kali ini saya mengetengahkan lukisan beberapa lokasi yang ada sebahagiannya semakin jarang dikunjungi orang kita seperti air terjun berkelah di Maran, Sungai Rengat di Ulu Cheka, Jerantut, padang golf, Tasik Chini, Pekan, resort di Bentong dan sebagainya.
"Setiap satu lukisan mengikut daerah perlu disiapkan dalam seminggu. Alhamdulillah, dengan sekali lukis sahaja menjadi, berkat doa dan kehendak ALLAH," ujar beliau lagi.
Ahmad Nazrin berkata, lukisan yang akan dijual pada pameran itu serendah RM2,500 sehingga RM5,000 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki lukisan asli.