KLANG - Sebuah gudang simpan barang elektronik di Jalan Bukit Kapar, di sini terbakar dalam kejadian pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.40 pagi.
"Sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dengan bantuan BBP Klang Utara, BBP Andalas dan BBP Bukit Jelutong telah dikejarkan ke lokasi.
"Pemeriksaan awal mendapati kebakaran melibatkan bateri dan barang elektronik terpakai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengenai punca kejadian dan jumlah kerugian.
"Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.30 pagi dengan bantuan aset termasuk empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua water tanker serta sebuah EMRS," ujarnya.