Didakwa guna gelaran tidak diiktiraf, Ustaz Husam minta dibicarakan

Iklan
Ustaz Husam (kiri) semasa tiba di Mahkamah Sesyen Kangar pada Khamis.

KANGAR - Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 34, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar pada Khamis atas tuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf pada tahun lalu.

Semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid, tertuduh mengangguk faham dan minta dibicarakan.

Iklan
Iklan

Tertuduh yang dikenali dengan gelaran Ustaz Husam dan berasal dari Kodiang, Kedah didakwa menerima gelaran serta kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 4 Mei 2023, jam 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

Iklan

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Kesalahan tersebut juga boleh dihukum berdasarkan Seksyen 4A(6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaam) 2016 (Enakmen A21).

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Jodia Poh Yi Tying sementara tertuduh pula diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.

Terdahulu, Muhamad Asyraf memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh namun Nur Iman mewakili anak guamnya pula membantah permohonan itu kerana tertuduh hanya bekerja sebagai seorang pengetua Maahad Tahfiz di Kedah.

Nur Iman dalam hujahnya menjelaskan, anak guamnya juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak selain menderita sakit gout serta asma dan memohon satu jaminan yang minimum diberikan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula pada 28 Oktober depan.