Satu pertiga rakyat Malaysia pernah berdepan cubaan ditipu dalam talian

Iklan
Yuen Tuck ketika ditemui media selepas pembentangan RMFLS 2024 di Menara Etiqa pada Khamis.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu pertiga bersamaan 38 peratus rakyat Malaysia pernah berdepan cubaan penipuan kewangan dalam talian tahun ini walaupun jumlah kes berkenaan menurun kepada 86 peratus berbanding 94 peratus pada 2023.

Ia berdasarkan dapatan Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2024 melibatkan seramai 3,390 responden yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Siew Yuen Tuck.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perkembangan positif itu menunjukkan bahawa kempen kesedaran ‘Jangan Kena Scam’ yang digerakkan oleh agensi kerajaan membuahkan hasil.

"Malah, 56 peratus responden memuji kempen kesedaran ini kerana ia membantu mereka mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

Iklan

"Walaupun situasi ini bergerak ke arah hala tuju yang betul, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk melindungi rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pembentangan Tinjauan RMFLS 2024 bertempat di Menara Etiqa, di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran PayNet Malaysia, Gary Yeoh; Ketua Pegawai Pemasaran FWD, Susan Ong; Pengurus Jangkauan Komuniti dan Acara CTOS, Noor Hazwani Mohamad Noor serta Ketua Kumpulan Pegawai Perbankan Pelanggan Alliance Bank, Gan Pai Li.

Yuen Tuck memaklumkan, tinjauan RMFLS juga mendapati 32 peratus rakyat Malaysia masih kurang cakna tentang tindakan atau individu yang mesti dihubungi apabila berhadapan situasi penyamaran dan pemberitahuan transaksi penipuan.

Menurutnya, ia satu kelemahan berterusan yang wajib ditangani sebaik mungkin terutamanya apabila era digitalisasi kian berkembang.

"Masyarakat pula semakin bijak menggunakan aplikasi digital untuk menguruskan kewangan peribadi mereka.

"Ia kerana 95 peratus responden guna sekurang-kurangnya satu e-dompet. Kebergantungan terhadap media sosial sebagai sumber utama maklumat kewangan juga ketara dengan markah kepercayaan sebanyak 4.0 berbanding 3.7 tahun lalu.

"Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap celik kewangan digital agar rakyat Malaysia mempunyai sumber yang diperlukan bagi memerangi penipuan,” katanya.