GISBH bukan model ekonomi Islam tetapi penyalahgunaan agama

Iklan
GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH)

DALAM usaha yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan untuk membongkar kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan menyelamatkan mangsa-mangsa mereka, wujud pula suara-suara yang mempersoalkan tindakan tegas tersebut.

Ada yang beranggapan bahawa GISBH merupakan model ekonomi Islam yang berjaya dan patut dipertahankan, namun pendirian ini amat janggal dan mengelirukan.

Iklan
Iklan

Ekonomi Islam sepatutnya berlandaskan prinsip keadilan, kebajikan, serta melindungi hak-hak semua pihak termasuk mereka yang tertindas dalam situasi ekonomi.

Namun, apa yang dilakukan oleh GISBH jauh daripada mencerminkan prinsip-prinsip ini.

Iklan

Ada pihak yang menggesa agar sumbangan GISBH dalam ekonomi Islam dijadikan alasan untuk meredakan tindakan undang-undang terhadap mereka. Ini bukan sahaja salah, tetapi juga berbahaya.

Ekonomi Islam menuntut keadilan dan ketelusan dalam semua urusan.

Iklan

Segala bentuk ketidakadilan yang membawa kepada penindasan satu pihak ke atas pihak lain adalah dilarang.

Sebaliknya, GISBH terlibat dalam amalan-amalan yang mencabul prinsip-prinsip ini.

Laporan mengenai eksploitasi, paksaan, dan salah laku kewangan terhadap ahli-ahli mereka telah muncul, di mana mangsa-mangsa tampil berkongsi pengalaman perit mereka.

Ini jelas merupakan penyalahgunaan agama untuk kepentingan peribadi golongan tertentu dan merosakkan imej perniagaan Islam yang tulen.

Penyokong GISBH mendakwa bahawa organisasi tersebut telah membina empayar perniagaan yang berjaya serta mencipta pelbagai peluang pekerjaan.

Namun, kejayaan ekonomi tidak boleh hanya diukur berdasarkan keuntungan material apabila ia diperoleh melalui penindasan dan pelanggaran etika Islam.

Ekonomi Islam menekankan kejayaan yang holistik, meliputi aspek material, akhlak, dan kerohanian.

GISBH bukanlah contoh model ekonomi Islam yang sebenar kerana mereka beroperasi dengan cara manipulasi dan ketakutan.

Model ekonomi yang berkembang melalui manipulasi dan ketakutan tidak selari dengan nilai-nilai Islam, bahkan tidak akan bertahan lama.

Kejayaan kewangan yang didakwa oleh GISBH tidak seharusnya membutakan kita daripada salah laku asas yang berlaku.

GISBH juga mempergunakan simbol-simbol agama untuk meraih sokongan masyarakat. Ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip Islam.

Menggunakan agama sebagai alat untuk mencapai keuntungan perniagaan, sambil melanggar hak asasi manusia dan menghapus fungsi institusi kekeluargaan, adalah tindakan yang sangat berbahaya.

Dalam konteks maqasid shariah, pemeliharaan harta tidak boleh dicapai dengan mengorbankan asas utama seperti agama, nyawa, keturunan, dan akal.

Pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan faktor ekonomi GISBH menghalang tindakan undang-undang terhadap salah laku mereka.

Agensi-agensi agama mesti turut sama membantu melindungi masyarakat daripada eksploitasi agama dan menegakkan prinsip ekonomi Islam yang sebenar.

Jika GISBH dibiarkan terus beroperasi, ini akan memberi mesej salah bahawa eksploitasi agama demi keuntungan ekonomi adalah boleh diterima.

Kita perlu jelas membezakan antara amalan ekonomi Islam yang sah dengan amalan yang mempergunakan agama sebagai alat untuk kepentingan perniagaan.

Ekonomi Islam yang sebenar mesti berlandaskan keadilan, mementingkan kebajikan dan memelihara hak manusia.

GISBH tidak melambangkan model ini, sebaliknya mereka adalah contoh penyalahgunaan agama.

Agensi-agensi kerajaan, autoriti agama, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menyedarkan masyarakat bahawa GISBH bukanlah satu model ekonomi Islam yang tulen.

*Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin merupapakan Felo Penyelidik, Pusat Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia