Pengarah, syarikat didenda RM40,000 bina loji kitar semula tanpa kelulusan EIA

Iklan
Tertuduh (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Khamis.

SUNGAI PETANI - Seorang pengarah dan syarikatnya didenda RM40,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan membina loji kitar semula tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), tiga tahun lalu.

Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Tan Boon Hai, 56, yang mewakili diri dan syarikatnya, United Base Metal Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas pengakuan salah dibuat.

Iklan
Iklan

Mahkamah memutuskan hukuman denda sebanyak RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan ke atas diri dan syarikat terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dan juga kilang United Base Metal Sdn Bhd dituduh menjalankan sesuatu aktiviti yang ditetapkan mengikut Aktiviti 14(b)(ii), Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 2015) iaitu membina loji kitar semula bagi tujuan untuk menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan EIA.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan pada 2 Mac 2021 jam lebih kurang jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di Lot 8071,Kawasan Perindustrian Gurun, Jalan Bedong di sini.

Kedua-dua pertuduhan terhadap kilang dan OKS itu dijalankan mengikut Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Ketika prosiding, OKS merayu agar hukuman diringankan dengan alasan pihaknya gagal membuat permohonan EIA kerana ketika itu negara dilanda Covid-19 dan berjaya memperolehi kelulusan EIA bulan April setahun kemudian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Muniff Mat Rus sementara tertuduh dan syarikatnya tidak diwakili peguam.