Pengundi Mahkota tidak perlu bimbang Syed Hussien 'bersih' - Noor Azleen

Iklan
Noor Azleen

KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah menjalani proses pemilihan dan tapisan yang ketat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, proses ketat dan menyeluruh ini bagi memastikan calon yang diputuskan pucuk pimpinan betul-betul bersih.

Iklan
Iklan

"Andai mana-mana nama calon mempunyai rekod kesalahan lampau dan sebagainya, pasti ibu pejabat UMNO akan dimaklumkan mengenainya.

"Sudah tentulah nama tersebut tidak akan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan sebagai calon untuk mewakili parti," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin mendakwa calon BN bagi PRK Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, Syed Hussien harus memberikan penjelasan berkenaan laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan kes gaduh dan mencederakan.

Iklan

Dalam pada itu, Noor Azleen meminta pengundi Mahkota untuk tidak bimbang dan terpengaruh dengan taktik kotor PN dengan menyakini calon BN Syed Hussein mampu menjadi wakil rakyat terbaik, efektif dan berkesan.

Proses pemilihan, senarai pendek dan semakan latar belakang nama calon dibuat melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, dan dibuat secara menyeluruh dan sangat ketat.

"Agensi dan jabatan terlibat termasuklah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi, Imigresen, daftar mahkamah dan lain-lain.

"Proses ketat dan menyeluruh ini bagi memastikan calon yang diputuskan pucuk pimpinan betul-betul bersih," ujarnya.

PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN, Syed Hussien dengan Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.