Tindakan tegas terhadap rasuah kekal jadi keutamaan kerajaan

Iklan
Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia Iskandar 2024 hari ini.- Foto: Bernama

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Tindakan tegas terhadap rasuah kekal menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan negara mencapai kecekapan dan ketelusan yang lebih baik serta memudahkan urusan perniagaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kestabilan yang terhasil daripada majoriti dua pertiga di Parlimen membolehkan kerajaan memastikan Malaysia memiliki tadbir urus yang lebih baik sekali gus membersihkan imej negara yang kadangkala dikaitkan dengan tahap rasuah yang tinggi dan tadbir urus lemah.

Iklan
Iklan

"Sebab itulah, dengan tepat, mengapa tindakan tegas terhadap rasuah jelas menjadi keutamaan kerajaan dan kita mesti kekal konsisten untuk memastikan ia berterusan.

"Melalui langkah tadbir urus yang berkesan dan membawa negara keluar daripada rasuah, kita akan mencapai kecekapan dan ketelusan yang lebih baik serta mempermudah urusan perniagaan," kata beliau.

Iklan

Anwar berkata demikian dalam ucapan pada Invest Malaysia Iskandar 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar menyeru penglibatan lebih besar daripada sektor swasta untuk meningkatkan lagi pembangunan bakat di Malaysia.

Iklan

"Penglibatan sektor swasta dalam pendidikan, dalam TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan latihan teknikal dalam AI (kecerdasan buatan) akan jauh lebih cekap berbanding menjalankannya sebagai program pendidikan biasa," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, isu mengenai bakat telah dibangkitkan kepadanya oleh syarikat multinasional (MNC) beroperasi di Malaysia yang merasakan kekurangan penglibatan bakat tempatan pada peringkat tertinggi syarikat berkenaan.

"Kebanyakan syarikat (MNC) meluahkan kebimbangan, walaupun berbangga dengan hakikat bahawa kita (Malaysia) mempunyai tenaga kerja yang berdisiplin dan berkelayakan, namun kita kekurangan (bakat) pada peringkat tertinggi.

"Peringkat tertinggi itu mesti diberikan kepada golongan muda yang perlu diberikan peluang untuk dilatih sekarang, dan hal itu perlu dilakukan bersama-sama dengan sektor swasta khususnya melatih pekerja melalui institusi kerajaan untuk keperluan mereka sendiri.

"Contoh ini ialah petunjuk bagaimana usaha kerjasama institusi kerajaan dan sektor swasta dapat memenuhi keperluan masa depan dengan baik," kata Anwar.

Invest Malaysia Iskandar ialah edisi kelima dalam siri Invest Malaysia tahun ini, selepas edisi sebelumnya di Melbourne, Australia pada Mac, China (April, secara maya), Singapura (Ogos) dan Hong Kong (September).

Persidangan itu menarik lebih 500 delegasi termasuk pelabur dalam pendapatan tetap asing, ekuiti dan ekuiti swasta. - Bernama