PENGENDALI skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui 'pening kepala' untuk memilih kesebelasan terbaik bagi melayan kunjungan Kuching City FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.
Katanya, berdasarkan prestasi semasa, kesemua pemain dilihat berada pada prestasi terbaik untuk beraksi termasuklah pemain baharu yang dibawa masuk menyertai kem skuad Harimau Selatan itu, baru-baru ini.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kesebelasan pemain hanya akan dapat ditentukan pada hari terakhir menjelang perlawanan, lagi pun kini kita memiliki terlalu ramai ‘pilihan’ pemain.
"Apa pun, sudah pasti saya akan menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha memastikan kemenangan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, JDT kini gah mendominasi takhta Liga Super dengan 28 mata hasil sembilan kemenangan dan seri sekali daripada 10 perlawanan.
Sementara itu, Kuching City FC berada pada kedudukan keempat dengan 14 mata hasil tiga kemenangan, seri lima kali dan tewas dua kali setelah mengharungi 10 perlawanan setakat ini.
Dalam pada itu, Bidoglio berkata, dia juga mahu memastikan kesemua pemain mendapat minit permainan yang mencukupi sebagai persediaan berdepan Shanghai Shenhua bagi aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, 1 Oktober depan.
Katanya, setelah berjaya mengikat Shanghai Port, 2-2 pada aksi sulung ACLE 18 September lalu, skuad Harimau Selatan diharap dapat meneruskan momentum bagi meraih keputusan positif berdepan skuad ‘The Flower of Shanghai’ itu.
"Walaupun kita meraih keputusan positif bagi aksi pertama, masih ada ruang yang boleh ditambah baik.
"Apa pun, mentaliti pemain dan atmosfera di bilik persalinan kini dilihat berada pada tahap yang terbaik dan sekali gus menjamin aksi bertenaga di atas padang,” katanya.