Pasca banjir: 972 pesawah tanggung rugi RM13.5juta

Iklan
Mahfuz (kiri) meninjau kawasan sawah yang terjejas akibat banjir.

KUBANG PASU - Banjir besar yang melanda Kedah baru-baru ini menyebabkan 972 pesawah dalam wilayah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM13.5 juta.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan semakan setakat ini terdapat lebih 1,500 hektar kawasan bendang dalam wilayah itu terjejas akibat banjir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tambah menyedihkan kebanyakan padi di kawasan tersebut hanya menanti hari untuk dituai.

"Angka itu merupakan anggaran semata-mata dan belum diperincikan oleh kementerian melalui banci.

Iklan

"Kebanyakan padi sudah mencapai umur boleh dituai iaitu antara 85 hingga 100 hari kecuali di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil yang mana usia padinya baru mencecah 14 hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada pesawah yang terjejas akibat banjir dalam PPK Asun di Kampung Paya Tok Teh pada Khamis.

Mahfuz (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir dalam PPK Asun di Kampung Paya Tok Teh pada Khamis.

Iklan

Mahfuz berkata, hasil tinjauan yang dilakukan beliau turut mendapati kebanyakan padi-padi itu rosak.

"Ada juga padinya nampak elok tetapi tiada isi kerana sawah mereka ditenggelami air banjir.

"Pesawah sekarang berada dalam dilema kerana perlu membayar upah mesin jentuai bagi menuai padi yang rosak.

"Apabila sampai ke kilang pula, pasti ada pemotongan harga melalui pemeriksaan mutu atau kualiti padi. Jadi berapa sangatlah wang yang akan mereka peroleh?" katanya.

Mahfuz berkata, PPK Asun antara kawasan yang teruk terjejas melibatkan 20 daripada keseluruhan 27 unit PPK berkeluasan 367 hektar.

"Keseluruhannya di kawasan ini terdapat 189 pesawah terjejas. Sayangnya lokasi ini merupakan antara kawasan yang mampu mengeluarkan hasil tinggi di Kedah dengan setiap relung (0.3 hektar) mampu menghasilkan 1.8 tan," katanya.

Beliau menambah, pesawah diharapkan dapat memberi kerjasama baik terhadap banci dijalankan pihak kementerian bagi membolehkan mereka menerima setiap bantuan yang akan diberikan kerajaan selepas ini.

"Kita harap pihak Jabatan Pertanian akan cepat melakukan proses banci dan pesawah dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan memberi maklumat tepat.

"Saya harap kalangan pesawah bersabar untuk mengikuti proses ditetapkan dan menanti kerana perkara ini perlu dilaksanakan secara terperinci," katanya.