DOSM jadi rujukan negara antarabangsa laksana bancian penduduk

Iklan
Mohd Uzir (kiri) memberi penerangan kepada delegasi Uzbekistan di Jeti Nelayan Bukit Palong, di sini, pada Khamis.

PORT DICKSON - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjadi pusat rujukan dapatan statistik pelaksanaan bancian oleh 11 negara termasuk pelbagai organisasi antarabangsa sejak 2017.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, negara itu ialah Uzbekistan, Qatar, Tajikistan, Indonesia, Arab Saudi, Mesir, Vietnam, China, Bangladesh, Azerbaijan dan Nepal.

Iklan
Iklan

"Malaysia merupakan satu daripada negara Asia paling ke hadapan menguruskan pelaksanaan statistik dan bancian penduduk, selain Thailand dan Indonesia.

"Selain itu, terdapat juga lawatan sambil belajar daripada agensi negara luar ke DOSM bagi melihat secara lebih dekat pelaksanaan banci termasuk bancian pertanian yang sedang dilaksanakan di beberapa negara lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Operasi Banci Pertanian di Jeti Pengkalan Bukit Palong di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, lanjutan daripada Mesyuarat Pengukuhan Kerjasama bersama Agensi Statistik di bawah Statistics Agency Under The President of the Republic of Uzbekistan (Statistics Agency), mereka telah memilih DOSM sebagai destinasi untuk mengadakan lawatan sambil belajar berkaitan pelaksanaan banci pertanian sebagai rujukan.

Mohd Uzir berkata, lawatan sambil belajar hari ini dapat memberi delegasi Uzbekistan pengalaman secara langsung berkaitan pengoperasian pelaksanaan banci yang dilakukan oleh DOSM, selain memperkukuh Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 26 Feb lepas.

Iklan

Beliau berkata, delegasi itu dapat mendalami aspek teknikal dan amalan terbaik digunakan oleh DOSM, memandangkan Pelaksanaan Banci Pertanian di Uzbekistan dijangka pada tahun depan.

Menurut Mohd Uzir, kali terakhir negara itu melaksanakan banci penduduk ialah pada 1989, berbanding Malaysia pada 2020.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Banci Pertanian 2024 yang memasuki hari ke-82 sejak dilancarkan pada 7 Julai dan berakhir 10 Okt ini, telah mencapai dapatan banci 91 peratus dengan kebanyakan negeri telah mencapai tahap lebih 80 peratus bancian.

Beliau berkata, sejumlah 1.2 juta pegangan pertanian terlibat dalam pembancian dengan bilangan tempat kediaman sebanyak 1.1 juta (98.4 peratus) dan pertubuhan 19,753 (1.6 peratus).

"Setakat semalam DOSM telah melawati 91.9 peratus kawasan, dengan pecahan sebanyak 1,082,932 (92 peratus) tempat kediaman dan pertubuhan sebanyak 17,430 (88.2 peratus),” katanya. - Bernama