DOSM lengkapkan data pertanian

Iklan
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) memberikan penerangan kepada delegasi Uzbekistan mengenai pengoperasian pelaksanaan banci.

Daerah Jempol dan Rembau catat jumlah banci pertanian tertinggi di Negeri Sembilan

PORT DICKSON - Tempoh operasi banci pertanian yang berbaki 14 hari begitu penting kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk melengkapkan proses pengumpulan data pertanian di peringkat huluan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sejak dilancarkan pada 7 Julai lalu sehingga 26 September 2024, DOSM telah berjaya merekodkan sebanyak 91.9 peratus dengan pecahan sebanyak 1,082,932 atau 92 peratus tempat kediaman dan 17,430 pertubuhan mewakili 88.2 peratus telah dilawati bagi melengkapkan data tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi Negeri Sembilan, operasi banci pertanian telah mencapai 86.3 peratus daripada 37,795 tempat kediaman dan 97.4 peratus daripada 1,017 pertubuhan yang berpotensi menjalankan pertanian telah dilawati.

"Daripada lawatan itu sejumlah 30,749 atau 81.4 peratus tempat kediaman pertanian dan 893 atau 87.8 peratus pertubuhan pertanian daripada jumlah keseluruhan telah selesai dibanci dengan pencapaian tertinggi membabitkan daerah Jempol dan Rembau.

Iklan

"Pencapaian ini dapat diperoleh dengan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak dan agensi berkaitan.

"Tidak lupa juga 'unsung hero' kita yang memastikan sekuriti makanan kita terjamin khususnya petani, penternak, nelayan serta pertubuhan pertanian," katanya ketika melawat Jeti Nelayan Bukit Palong, di sini pada Khamis.

Iklan

Pegawai Jabatan Perikanan memberi maklumat kepada beberapa orang nelayan di Jeti Nelayan Bukit Palong, Port Dickson.


Mengulas lanjut beliau berkata, usaha dan libat urus telah dijalankan oleh agensi pertanian di peringkat daerah sekali gus memastikan pengumpulan data pertanian terperinci diperolehi selain tiada pengusaha yang tertinggal dalam liputan banci pertanian itu.

Kukuhkan kerjasama

Menurut Mohd Uzir, DOSM juga telah menerima sebanyak 11 lawatan sambil belajar dan kunjungan hormat daripada pelbagai organisasi antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Ujarnya, negara yang terlibat antaranya Uzbekistan, Mesir, Vietnam, Qatar, Kemboja, China, Bangladesh, Azerbaijan, Nepal dan Arab Saudi.

Mohd Uzir (empat dari kiri) menerangkan kepada delegasi Uzbekistan mengenai data pertanian 2024 yang direkodkan DOSM.


Katanya, DOSM turut memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa dengan mempengerusikan dan menganjurkan program berskala besar dan kini dalam proses penyediaan memorandum persefahaman (MoU) untuk dimeterai dengan pihak Tajikistan.

"Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen DOSM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan berkongsi kepakaran dalam bidang statistik.

"Saya menyeru pengusaha dan pertubuhan pertanian dari semua peringkat memberikan maklumat tepat dan lengkap kepada petugas banci pertanian," tambahnya.

Jelasnya, dapatan banci pertanian yang tepat dan lengkap dapat menyediakan statistik pertanian 'real time', komprehensif dan amat penting bagi tujuan penggubalan dasar serta perancangan bantuan kepada pengusaha pertanian.

Lawatan sambil belajar

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Uzbekistan juga telah memilih DOSM sebagai destinasi untuk lawatan sambil belajar bagi tujuan pelaksanaan banci pertanian di negara mereka pada tahun depan.

Mohd Uzir (tiga dari kiri) bergambar bersama delegasi Uzbekistan di Lukut Besar, Sungai Rambai, Bakar Arang, Port Dickson pada Khamis.


Tambahnya, lawatan sambil belajar ini memberi peluang dan mencipta pengalaman kepada delegasi Uzbekistan mengenai pengoperasian pelaksanaan banci.

"Delegasi Uzbekistan akan turut serta sepanjang sesi lawatan kerja bagi mendalami aspek teknikal dan amalan terbaik yang digunakan oleh DOSM," katanya lagi.

Selain Jeti Nelayan Bukit Palong delegasi tersebut turut melawat Lukut Besar, Sungai Rambai, Bakar Arang, Negeri Sembilan.