Para Sukma: Azlan pecah rekod kebangsaan, gondol dua emas

Iklan
Atlet Sarawak Azlan Mos meraih pingat emas acara powerlifting tidak melebihi 65 kilogram pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Khamis. Foto Bernama

ATLET powerlifting negara, Azlan Mos menepati ramalan dan terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 apabila berjaya memecahkan rekod temasya serta kebangsaan dengan angkatan 171 kilogram (kg) bagi kategori lelaki bawah 65kg hari ini.

Anak jati Bumi Kenyalang dari Sebuyau itu memadam rekod 170kg yang dilakukan atlet Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin pada edisi Para Sukma 2018 di Perak, sekali gus menggenggam emas bagi angkatan terbaik selepas percubaan ketiganya.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 33 tahun berkenaan sebelum ini mengangkat 150kg, 155kg dan 160kg untuk menyapu emas keduanya dengan jumlah angkatan keseluruhan 465kg di Kompleks Belia dan Sukan yang bergema dengan sorakan kuat daripada penyokong tuan rumah.

Peserta Perak, Muhammad Akmal Danish Mohamad merangkul pingat perak pada angkatan ketiga terbaik (143kg) dengan jumlah keseluruhan angkatan 425kg, manakala Muhammad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis (116kg, 333kg) meraih gangsa.

Iklan

Ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Azlan yang dibimbing Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun lepas berkata beliau sememangnya menanam hasrat untuk memecah rekod Bonnie yang sudah pun dianggap sebagai mentornya sendiri.

"Selain nak pecah rekod Bonnie yang saya anggap kawan dan juga mentor, saya nak juga memperbaharui rekod sendiri kerana bagi saya kalau Bonnie mampu lakukan, apa alasan saya untuk tak mampu lakukan perkara yang sama.

Iklan

Atlet Sarawak Azlan Mos memenangi pingat emas acara powerlifting tidak melebihi 65 kilogram pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 hari ini. Foto Bernama

"Saya akui ada cabaran dari segi kecederaan, ia perkara biasa dalam sukan angkat berat begini, namun saya tidak mahu terlalu fikir sebab mental perlu kuat dan tidak mahu terbawa-bawa dengan perasaan gentar,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Berkongsi perkembangan terbaharu dalam sukan powerlifiting, Azlan berkata beliau turut berhasrat untuk memecah rekod 171kg diperolehnya bagi acara yang sama di pentas Sukan Para ASEAN 2025 yang berlangsung di Thailand.

Skuad Sarawak membuktikan sukan powerlifting menjadi antara lubuk emas negeri itu apabila atletnya Melinda Tiong Zhing Zhing menggondol emas bagi jumlah angkatan keseluruhan dalam kategori wanita bawah 61kg selepas melakukan 158.95kg berdasarkan kiraan mengikut Coefficient Formula Calculator.

Beliau mengenepikan atlet Perak Aphiradi Singchang yang memperoleh tempat kedua dengan jumlah angkatan keseluruhan 151.591kg diikuti Eng Ling Li dari Johor yang mendapat gangsa (146.926kg).

Melinda yang berusia 20 tahun itu merangkul perak bagi angkatan terbaik iaitu 53.853kg dengan emas dimenangi Eng (54.948kg) manakala gangsa menjadi milik Aphiradi (51.433 kg). - Bernama