Penempatan Orang Asli akan dibina ikut cita rasa mereka - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) hadir pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh pada Khamis. Foto Bernama

KLUANG - Pembinaan rumah baharu untuk penempatan masyarakat Orang Asli akan dibina mengikut cita rasa dan budaya etnik itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kertas kerja selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri telah memberikan satu kertas kerja kepada saya dan saya telah serahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Apa yang Perdana Menteri mahukan dan mengarah kepada saya bahawa rumah-rumah Orang Asli mesti didirikan sesuai dengan cita rasa mereka dan mengikut budaya dan latar belakang.

Iklan

"Perkara ini dipersetujui secara dasar dan satu sesi penerangan akan diberikan kepada semua Tok Batin di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Program Tautan Kasih bersama masyarakat Orang Asli Jakoa di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini pada Khamis.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengarahkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memastikan jalan masuk ke kampung berkenaan dilebarkan.

Iklan

Katanya, kerja-kerja berkenaan akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"JKR kena buat itu nanti. Ini bukan janji pilihan raya, ini perintah. Tok Mat (Ahmad) jaga Orang Asli ini, peruntukan abang bagi. Adik buat (jalan) bagi kereta yang masuk ke sini boleh selisih.

"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan jabatan-jabatannya amat prihatin kepada Orang Asli. Insya-ALLAH apabila Akta Orang Asli 1954 ini siap akta baru, dasar pembangunan Orang Asli ini saya yakin kehidupan mereka akan terus bertambah baik,” katanya.