Bunuh tiga beradik, hukuman mati terhadap Shahrul Pitri kekal

Iklan
Shahrul Pitri bersalah membunuh Muhammad Faqih Zahirulhag Mohd Fadzil,5, Muhammad Firash Zafrill, 3, serta Nur Zia Fasihah, dua tahun. Gambar fail Bernama.

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan hukuman mati seorang buruh yang disabitkan dengan kesalahan membunuh tiga beradik, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Shahrul Pitri Jusoh terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya.

Iklan
Iklan

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mensabitkan Shahrul Pitri dengan kesalahan membunuh.

Beliau berkata hukuman mati itu, yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, adalah wajar berdasarkan keadaan jenayah tersebut.

Iklan

Ketika Mahkamah Rayuan mendengar kes Shahrul Pitri pada 14 September 2023, pindaan terhadap undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberikan hakim kuasa budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara, telah berkuat kuasa.

Abdul Rahman berkata, terdapat keperluan untuk mengimbangi simpati kepada pesalah dan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa atau kerosakan yang berlaku akibat perlakuan jenayah Shahrul Pitri kepada masyarakat.

Beliau juga berkata prinsip am menyatakan bahawa mahkamah yang mendengar rayuan perlu berhati-hati dalam mencampuri hukuman yang dijatuhi kecuali ia menyalahi undang-undang, tidak memadai atau berlebihan.

Iklan

Shahrul Pitri, 41, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 6 Ogos 2020 kerana membunuh Muhammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Nur Zia Fasihah, 2, di sebuah rumah di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Teluk Intan, Perak antara jam 2.30 petang hingga 2.40 petang pada 17 Mei 2018.

Terdahulu, peguam R Mahendren Naidu berhujah bahawa ketika kejadian, anak guamnya mengambil dadah dan berang dengan bapa ketiga-tiga mangsa yang didakwa menipu gaji tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol pula berhujah perunding psikiatri forensik Dr Ian Lloyd Anthony memberi keterangan di mahkamah bahawa Shahrul Pitri waras ketika dia membunuh tiga kanak-kanak itu.- Bernama